Keadaan banjir di Kelantan pada 23 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gelombang kedua banjir di Kelantan pulih sepenuhnya

KOTA BHARU, 26 DIS: Gelombang kedua banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah Pasir Mas yang dibuka sejak 18 Dis lalu menamatkan operasinya hari ini.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh yang menempatkan 33 orang daripada enam keluarga ditutup pada 2 petang tadi.

“Alhamdulillah, keadaan cuaca dilihat semakin bertambah baik selain air di kediaman mereka yang terlibat juga sudah surut dan selamat untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my setakat 3 petang ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.08 meter (m), melebihi sedikit paras amaran iaitu 8m, namun menunjukkan trend menurun.

Dalam pada itu, paras air Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat, kekal merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu 2.48m (amaran 2.15m).

– BERNAMA


Pengarang :