AGENDANASIONAL

Gelombang ketiga Covid-19, tahap bahagia keluarga makin baik

PUTRAJAYA, 24 DIS: Tahap kebahagiaan rumah tangga di negara ini menjadi semakin baik pada gelombang ketiga Covid-19 berbanding dua gelombang yang lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan oleh 49 peratus responden daripada golongan ibu bapa yang terlibat dalam tinjauan pendapat yang dilaksanakan secara dalam talian sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 pada November lepas.

“Ini selaras dengan penemuan tinjauan tersebut yang turut mendapati bahawa sebanyak 64 peratus responden ibu bapa yang mengakui bahawa komunikasi mereka dengan pasangan telah menjadi semakin baik pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rina berkata tinjauan terbaru Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu secara tidak langsung memberi gambaran institusi keluarga menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

“Usaha lebih giat akan terus dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan penyampaian pendidikan kekeluargaan bagi memastikan institusi keluarga mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk berfungsi bagi mencapai kesejahteraan,” katanya.

Selain itu, Rina berkata skor keseluruhan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2019 meningkat 0.39 mata kepada 7.72 berbanding 7.33 pada 2016 dan kekal pada tahap sederhana.

Katanya, domain hubungan kekeluargaan menjadi penyumbang skor tertinggi IKK 2019 iaitu 8.35 daripada skala maksimum 10.

Domain hubungan kekeluargaan dipantau melalui tujuh indikator yang mengukur aspek berkaitan kekeluargaan iaitu penglibatan ibu bapa, kualiti masa bersama keluarga, imbangan kerja dan keluarga, perhubungan rapat, kefungsian keluarga, daya tindak keluarga dan daya tahan keluarga, katanya.

Domain lain yang diukur ialah keluarga, peranan agama dan amalan kerohanian yang mencatatkan skor 8.25; domain keluarga dan keterlibatan komuniti (8.00) serta domain keselamatan keluarga (7.86).

Domain ekonomi keluarga pula merekodkan skor 7.67; domain kesihatan keluarga (7.44); domain perumahan dan persekitaran (7.35) serta domain keluarga dan teknologi komunikasi (6.82), katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :