AGENDAEKONOMINASIONAL

Gerakkan pelaburan rakyat ketika krisis – pakar ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Malaysia perlu lebih berdikari serta menggerakkan usaha pelaburan rakyat dalam negara daripada bergantung kepada pelabur asing, terutama ketika tempoh sukar krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku serta turut menjejaskan rantaian bekalan global.

Pakar ekonomi yang juga Penasihat Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram ini penting memandangkan elemen seperti pelaburan langsung asing (FDI) tidak dapat membantu untuk menyelamatkan negara pada masa-masa seperti sekarang.

“Kita perlu berfikir terutamanya yang membabitkan usaha rakyat Malaysia melabur bagi memajukan negara serta memberi perhatian terhadap ekonomi sebenar berbanding indikator (petunjuk) kewangan,” katanya pada forum dalam talian bertajuk ‘Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) : Bual Bicara Bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed’ di sini, hari ini.

Beliau adalah antara ahli panel dalam forum selama dua jam itu.

Jomo berkata, di sebalik kesukaran yang berlaku, pandemik Covid-19 itu turut memberi peluang untuk kalangan penggubal dasar memikirkan secara serius mengenai pelaburan dalam ekonomi benar dan bagaimana ia dapat menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai impak ke atas Malaysia yang dilihat terlalu ‘bersepadu’ dengan China.

“Kita perlu memikirkannya secara serius, terutamanya mengenai makanan serta mengaitkan seluruh persoalan mengenai keselamatan makanan sehingga aspek pemakanan. Terlalu ramai rakyat Malaysia yang mengalami masalah pemakanan tidak seimbang kerana tidak mendapat vitamin, mineral mencukupi selain mengambil makanan yang salah.

“Mengikut penyelidikan KRI, rakyat Malaysia secara puratanya tidak dalam keadaan sihat. Ini merupakan sesuatu yang penting untuk kita tangani, terutamanya apabila membabitkan langkah untuk meningkatkan lagi usia persaraan,” katanya.

Malah, kata Jomo, lebih separuh daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau dana persaraan lain.

Laporan yang dikeluarkan pada awal bulan ini menyatakan walaupun jangka hayat rakyat Malaysia lebih panjang, ini tidak bermakna mereka dalam keadaan sihat.

Aspek jangka hayat semata-mata juga dilihat sebagai tidak memadai untuk dijadikan pengukur kesihatan penduduk memandang ramai yang sebaliknya mengalami masalah kesihatan seperti penyakit jantung, sakit belakang serta kesihatan mental terutama pada usia tua.

Berpandukan petunjuk jangka hayat sihat atau HALE, laporan tersebut berkata purata jangka hayat sihat individu pada 2019 adalah 65.5 tahun.

Dalam pada itu, Jomo berkata adalah penting untuk mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai kaedah bagi menggerakkan ekonomi negara.

“Kita perlu memanfaatkan perubahan yang sedang berlaku ini untuk meneliti semula keutamaan serta bagaimana memulihkan ekonomi.

“Oleh itu, perlu ada satu perbincangan mengenai cara untuk menggerakkan ekonomi berbanding bagaimana kita dapat kembali kepada keadaan sebelumnya sekiranya berlaku suatu ‘keajaiban’…sama ada disebabkan terdapatnya vaksin atau perkara lain,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Pengerusi Royal Selangor International Sdn Bhd Tan Sri Yong Poh Kon berkata Malaysia perlu menarik sebanyak mungkin FDI dengan melaksanakan polisi yang lebih mesra pelabur.

“Kita perlu mengkaji bagaimana Singapura berupaya mempunyai FDI yang tinggi, sehinggakan rakyatnya hanya menyumbang sekitar 10-12 peratus daripada ekuiti. Sekiranya kita berjaya menarik (paras) FDI yang sama, ekonomi akan berkembang lebih pantas.

“Antara impak memiliki FDI lebih tinggi ialah penggunaan buruh asing yang lebih terkawal menerusi lebih banyak sistem berorientasikan levi berserta insentif dan sistem pendidikan yang lebih baik,” kata beliau.

Dalam pada itu, Profesor Adjung Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata RMK-12 bagi tempoh 2021-2025 seharusnya mempunyai pelan rangka perspektif jangka panjang (OPP) dengan objektif untuk membebaskan ekonomi Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana dalam tempoh 2021 hingga 2030.

“OPP ini perlu menyelesaikan empat kebimbangan — kekangan struktur, produktiviti buruh, potensi eksport sektor perkhidmatan serta isu pengagihan secara adil (pertumbuhan dan ekuiti).

“RMK-12 memerlukan penyelesaian berasaskan pasaran yang konkrit (untuk menangani) kebimbangan ini sebagai asas pengiraan kalkulus ekonomi politik jangka panjang di negara ini. Saya sendiri mempunyai satu permintaan segera iaitu segeralah mengarusperdanakan masyarakat Orang Asli…mereka telah ketinggalan bagi tempoh yang lama,” katanya.

Pelancaran RMK-12 telah ditangguhkan kepada awal tahun depan untuk membolehkan lebih banyak input dikumpul daripada pihak berkepentingan dan mempertimbang penyesuaian polisi serta pembaharuan ekonomi yang diperlukan untuk membina dan menstruktur semula ekonomi dalam tempoh pasca pandemik.

Forum hari ini telah dihadiri oleh kira-kira 150 peserta yang mewakili kalangan komuniti perniagaan, masyarakat, ahli akademik dan orang awam untuk mengikuti perkembangan terkini mengenai rancangan, dasar serta strategi pembangunan ekonomi jangka pertengahan untuk dirangkumkan dalam RMK-12.

-BERNAMA

 


Pengarang :