Petugas kesihatan membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk Klang di Taman Bayu Perdana pada 23 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 80 peratus individu positif Covid-19 tiada gejala

SHAH ALAM, 29 DIS: Saringan Komuniti Bersasar inisiatif Kerajaan Negeri mengesan hampir 80 peratus individu positif Covid-19 tidak menunjukkan gejala.

Justeru, Pengarah Projek SELangkah Dr Helmi Zakariah berkata saringan itu penting bagi mengekang virus merebak terutama kepada golongan berisiko.

“Amat penting untuk tahu status kesihatan sebab itu perlunya individu membuat saringan sendiri atau ikuti saringan komuniti bersasar,” katanya menerusi program bual bicara: Kitaran Covid-19 dan Kemelut Vaksin anjuran Media Selangor di sini malam tadi.

Menurutnya, masyarakat juga boleh melayari screening.selangkah.my dan membuat pra-pendaftaran jika mahu pihak kesihatan hadir membuat saringan komuniti bersasar di kawasan tempat tinggal mereka.

“Maklumat lebih terperinci perlu diisi dan selepas itu pihak Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) akan tentukan sama ada tempat itu perlu atau sebaliknya dilaksana saringan tersebut,” jelasnya.

Selangor melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 melalui dua pelaksanaan iaitu pandu lalu dan pemeriksaan ke kawasan komuniti.

Berdasarkan rekod, negeri itu pelopori pelaksanaan Saringan Komuniti secara pandu lalu.


Pengarang :