Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Harga siling benih padi ditetap RM35 setiap 20kg mulai 2021 – menteri

KUALA SELANGOR, 22 DIS: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menetapkan harga siling benih padi sah tidak melebihi RM35 untuk setiap 20 kilogram, bagi menghapuskan manipulasi harga barangan berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penetapan harga siling benih padi sah itu akan bermula pada musim penanaman pertama padi di seluruh negara awal tahun depan.

Beliau berkata sebelum ini, harga benih padi sah yang dibeli oleh pesawah daripada ejen selain Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), mampu mencecah RM60 untuk setiap 20 kg.

“Penetapan harga siling ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pesawah di Semenanjung. Ia merupakan antara inisiatif program Insentif Benih Padi Sah (IBPS), bagi membantu golongan sasar sektor padi dan beras.

“Bekalan benih padi sah juga sudah mula dihantar ke Selangor seterusnya ke Perak dan negeri di utara Semenanjung. Ia tidak dilakukan serentak, kerana mengikut musim penanaman awal padi di setiap negeri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pengagihan Benih Padi Sah di Pusat Belian Padi Sawah Sempadan, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS Dr Anis Mahmud.

Tambah Kiandee, NAFAS selaku pemborong tunggal dalam program IBPS juga, boleh melantik ejen berdaftar bagi membekalkan benih padi sah di kawasan yang menjalankan aktiviti penanaman padi di seluruh negara.

“NAFAS boleh melantik ejen daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau ejen persendirian yang diiktiraf pertubuhan itu, dengan mempertanggungjawabkan mereka untuk melakukan penghantaran benih padi sah,” katanya.

Pada persidangan Dewan Negara Rabu lepas, Kiandee berkata penambahbaikan program IBPS adalah bagi menjamin mutu perkhidmatan, selain memberikan hak kepada pesawah memilih jenis benih padi sah yang terbaik untuk ditanam di sawah mereka.

Penambahbaikan IBPS menggariskan lima hala tuju iaitu melantik NAFAS sebagai pemborong tunggal program berkenaan; penetapan harga siling benih padi sah RM35 setiap beg (20kg); lesen dan permit pengedaran diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan kerajaan; penetapan beberapa variasi benih padi sah akan dihasilkan syarikat pengeluar benih sah, serta menyediakan stok penimbal benih padi sah.

-BERNAMA


Pengarang :