AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin ke-75: MB, EXCO menjunjung kasih

SHAH ALAM, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-75 hari ini.

Turut berbuat demikian Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Penasihat Undang-Undang Negeri Dato’ Salim Soib @ Hamid dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Ng Suee Lim, semua EXCO Kerajaan Negeri dan Ketua Pembangkang DNS Rizam Ismail juga tidak ketinggalan.

Turut sama Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikutan ucapan pemimpin berkenaan:

Patik yang mewakili rakyat jelata, kepimpinan serta pentadbiran Kerajaan Negeri, merafak sembah taat setia dan menjunjung kasih tahniah buat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah Alhaj Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor serta segala daerah takluknya bersempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke-75.

Patik dan seluruh rakyat jelata amat bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi Izin oleh-Nya untuk dinaungi kedaulatan Tuanku Sultan. Patik-patik sekalian senantiasa mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, kemuliaan serta kesihatan yang baik hendaknya.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda tuanku, waris-waris serta kerabat DiRaja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar

Daulat Tuanku
Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan Hari Keputeraan ke-75 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

Patik dan seluruh warga pentadbiran setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menyembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan baginda ke-75.

Semoga baginda Tuanku dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah SWT hendaknya. Semoga Selangor terus maju, aman, makmur dan sentosa di bawah naungan baginda sepanjang masa.

Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya
Setiausaha Kerajaan Negeri

Patik serta seluruh warga Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor merafak sembah dengan hormat dan penuh takzim, berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sentiasa dalam lindungan Ilahi, dianugerahkan kewibawaan dan kebesaran, darjat & daulat, kehormatan dan kemuliaan, diberkati dengan kesihatan dan kesejahteraan.
Dirgahayu Tuanku.

Dato’ Salim bin Soib @ Hamid
Penasihat Undang-Undang Negeri

Dengan hormat dan penuh takzim, patik dan warga Perbendaharaan Negeri Selangor merafak sembah mendoakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor serta keluarga dilimpahi rahmat, diberi kesihatan juga kesejahteraan selalu.
Semoga Selangor terus kekal dalam keadaan aman damai, maju dan makmur di bawah naungan Tuanku.

Dato’ Nor Azmie Diron
Pegawai Kewangan Negeri

Rakyat Selangor amat bertuah kerana mempunyai seorang raja yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan pembangunan mampan.
Saya mendoakan agar usia Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dilanjutkan tuhan dan rakyat Selangor terus dinaungi pemerintahan Tuanku.
Daulat Tuanku.

Dato’ Teng Chang Khim
EXCO Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian,
Industri Kecil dan Sederhana

Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-75.

Rodziah Ismail
EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar
dan Pembangunan Usahawan

Merafak setinggi-tinggi tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan baginda.
Patik merafak sembah, dengan penuh keikhlasan bertekad akan memelihara serta memperkukuh pemerintahan Tuanku di negeri Selangor yang berdaulat ini.
Patik memohon doa ke hadrat Allah SWT agar tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan, dianugerahkan kesejahteraan dan dilanjutkan usia serta diberkati pemerintahan Tuanku.
Daulat Tuanku.

Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam,
Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

Kesultanan Selangor telah memiliki sejarah yang gemilang. Di bawah payung Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Selangor bertambah maju dan makmur serta turut menerajui sumbangan kepada ekonomi Malaysia.
Semoga Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan dan dipelihara keselamatan.
Raja dan rakyat berpisah tiada, daulatlah raja sepanjang masa. Daulat Tuanku.

Ng Sze Han
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam
dan Pembangunan Kampung Baru

Merafak Sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-75 Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Patik bagi pihak KEADILAN mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Tuanku dan Tengku Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
Semoga baginda kekal qarar memerintah rakyat negeri Selangor dengan adil dan saksama.
Dirgahayu Tuanku.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

Patik menadah tangan memohon kepada tuhan agar mengurniakan keselamatan, kesejahteraan dan keberkatan kepada tuanku yang dikasihi, dilanjutkan usia Tuanku dalam sihat sejahtera agar bertambah mulia lagi berdaulat memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan adil dan saksama.
Daulat Tuanku

Ng Suee Lim
Speaker Dewan Negeri Selangor

Daulat tuanku.
Patik merafak sembah sempena Hari Keputeraan ke-75 Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah. Semoga dilanjutkan usia Tuanku dan terus berjaya memimpin Selangor menjadi negeri maju, tempat pilihan penduduk mencari rezeki, mengamalkan agama dan budaya masing-masing.

Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor

Dirgahayu tuanku.
Dengan penuh hormat dan takzim, merafak sembah setinggi tinggi tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semoga sentiasa berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT dan pemerintahan Tuanku terus subur memayungi negeri berdaulat, rakyat yang sejahtera.
Semoga Selangor terus kekal dalam keadaan aman. harmoni, bersatu padu dan makmur di bawah naungan Tuanku.

Dr Siti Mariah Mahmud
EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan,
Pembangunan Wanita dan Keluarga

Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena sambutan Hari Keputeraan ke-75 Tuanku, saya mendoakan agar tuhan sentiasa merahmati dan memberkati Tuanku.

V Ganabatirau
EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi,
Kebajikan Masyarakat, Pemberdayaan Pekerja

Dengan hormat dan penuh takzim, patik merafak sembah mendoakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin serta keluarga dilimpahkan rahmat dan kesejahteraan selalu. Semoga Selangor terus kekal maju, makmur dan aman damai di bawah naungan Tuanku.

Hee Loy Sian
EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau
dan Hal Ehwal Orang Asli

Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan baginda ke 75. Semoga Allah memberkati dan melanjutkan usia agar pemerintahan baginda terus memayungi seluruh rakyat Selangor.

Mohd Khairuddin Othman
EXCO Pembangunan Modal Insan,
Generasi Muda dan Sukan

Patik menzahirkan rasa bangga dan syukur di bawah naungan Ke Bawah Duli Tuanku yang mentadbir seluruh jajahan takluk negeri dengan penuh keadilan, aman dan makmur. Patik mendoakan kebahagiaan Tuanku agar terus bersemayam di atas takhta kerajaan dan terus diberi keberkatan dalam memimpin rakyat.

Borhan Aman Shah
EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung
Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan

Merafak sembah mendoakan di atas Ulang Tahun Keputeraan ke-75 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Patik sentiasa berdoa agar Tuanku berada di dalam rahmat, inayah dan kasih sayang Allah SWT, serta dilanjutkan usia dan dikurniakan kesihatan yang baik.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni
EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan
Hal Ehwal Pengguna


Pengarang :