Para penganut Kristian mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika mengadakan upacara keagamaan pada malam sambutan Hari Natal ketika tinjauan di Gereja Tamil Methodist, Brickfields malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hari Natal disambut sederhana dengan norma baharu

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Sambutan Hari Krismas hari ini diraikan penganut Kristian di seluruh negara secara sederhana, dengan mengamalkan norma baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 namun masih mengekalkan semangat muhibah.

Sambutan Krismas bermula pagi ini dengan para penganut Kristian berkumpul di gereja dalam jumlah yang terhad, kecuali bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang tidak dibenarkan diadakan acara sembahyang di gereja.

Tiada sambutan rumah terbuka melibatkan orang ramai, dengan sambutan di rumah hanya melibatkan anggota keluarga terdekat dalam jumlah yang kecil.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama mendapati penganut Kristian mula tiba di Church of Our Lady of Lourdes Klang sejak pukul 8 pagi tadi untuk bersembahyang sekitar 15 minit dan kemudian terus pulang ke kediaman masing-masing.

Paderi gereja berkenaan Frederick Joseph ketika ditemui berkata sambutan Hari Krismas di gereja tersebut tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya, memandangkan semua aktiviti di situ perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan susulan pandemik Covid-19.

“Kalau tahun lepas, kira-kira 1,500 penganut akan datang untuk sembahyang dan berkumpul sesama keluarga di gereja ini, tetapi tahun ini kita kena ikut SOP memandang daerah Klang sendiri masih dalam kawasan zon merah (Covid-19),” katanya.

Di PERAK, sambutan Hari Krismas di Church of Our Lady of Lourdes di Ipoh kali ini diadakan dengan semua pengunjung gereja tersebut memakai pelitup muka dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Hanya kira-kira 100 penganut agama Kristian dibenarkan memasuki dewan untuk menyertai upacara keagamaan yang berlangsung selama satu jam bermula 7 pagi berbanding sebelum ini yang disertai begitu ramai penganut agama itu.

Di Church of Our Mother Of Perpetual Help pula, kawasan gereja turut dikawal ketat oleh ahli jawatankuasanya bagi memastikan semua penganut yang hadir mematuhi SOP.

Di NEGERI SEMBILAN, walaupun perayaan itu diadakan secara sederhana namun kemeriahannya tetap terasa apabila ia diraikan kira-kira 400 Orang Asli beragama Kristian di Kampung Orang Asli Tekir Mentera, Labu.

Tok Batin Kampung Orang Asli Tekir Mantera, Ramli Taka, 67, berkata sambutan Hari Krismas tetap diadakan dengan diraikan bersama keluarga terdekat di rumah masing-masing.

“Tahun ini kali pertama sambutan Hari Krismas tidak disambut secara besar-besaran. Sebelum ini banyak aktiviti diadakan di gereja dan ada tradisi kunjung-mengunjung tetapi hari ini penduduk beragama Kristian di sini hanya meraikannya di rumah kerana mematuhi SOP seperti yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Di MELAKA, tiada sebarang persembahan kesenian diadakan bagi meraikan perayaan Krismas di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Portugis Marina Lindadanker berkata aktiviti nyanyian karol (caroling) dari rumah ke rumah sempena perayaan Krismas secara berkumpulan yang merupakan rutin pada malam Krimas juga tidak diadakan sebagai usaha bersama mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Selalunya seminggu sebelum Krimas banyak aktiviti yang kita lakukan dan secara tidak langsung menggamit ramai pengunjung atau pelancong untuk melihat kemeriahan sambutan ini sehingga laluan masuk ke perkampungan ini sesak dengan kenderaan,” katanya.

Di SARAWAK, Gereja Saint Thomas di pusat bandar raya Kuching yang boleh menampung sehingga 1,500 penganut pada satu-satu masa telah mengehadkan jumlahnya kepada 200 orang sahaja.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, baru-baru ini turut menetapkan sambutan Krismas di negeri itu hanya boleh diraikan pada hari ini sahaja.

JPBN Sarawak turut mengehadkan kapasiti kehadiran semasa majlis kunjungan kepada 20 orang sahaja pada satu-satu masa di bawah SOP yang bertujuan mengekang sebarang penularan jangkitan Covid-19 di negeri itu.

Di SABAH, sambutan perayaan Krismas diadakan secara sederhana dengan gereja-gereja mengadakan upacara sembahyang dalam kapasiti minimum bagi memenuhi SOP penjarakan fizikal dan mereka yang hadir mematuhi SOP antaranya memakai pelitup muka serta mencatat rekod kehadiran dengan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Menarik perhatian, ada dalam kalangan rakyat negeri itu memilih mengadakan majlis sambutan perayaan itu secara dalam talian dengan keluarga mereka dan tradisi Krismas seperti nyanyian ‘Chrismas Carol’, yang sebelum ini diadakan dari satu lokasi ke lokasi tertentu turut diadakan secara dalam talian.

– BERNAMA


Pengarang :