Hartalega Holdings Bhd sahkan 35 pekerjanya positif Covid-19 merankumi 20 daripadanya di kilang Bestari Jaya dan 15 di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hartalega sahkan 35 pekerja diuji positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Hartalega Holdings Bhd mengesahkan 35 pekerjanya positif Covid-19, 20 daripadanya ialah di kilang Bestari Jaya dan 15 di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia menjelaskan pekerja yang terjejas sedang menerima rawatan perubatan di kemudahan kesihatan kerajaan, manakala semua kontak rapat dalam tempoh 14 hari terakhir dikenal pasti dan dikuarantin serta akan menjalani ujian selanjutnya sebelum dibenarkan kembali bekerja.

“Sehubungan dengan itu, beberapa talian pengeluaran dihentikan sementara, dengan kerugian kapasiti dianggarkan kurang 0.5 peratus daripada pengeluaran tahunan,” katanya.

Selain itu, menurut Hartalega pembasmian kuman secara menyeluruh di kawasan individu terlibat berada telah dilakukan oleh penyedia profesional pihak ketiga.

Kumpulan itu berkata ujian Covid-19 dilakukan ke atas seramai 8,772 kakitangan termasuk vendor luar seperti kakitangan keselamatan dan operator kantin pada 7 Disember dan selesai pada 10 Disember, selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara supaya semua pekerja asing menjalani ujian.

-BERNAMA


Pengarang :