Selangorkini
Perigi Tujuh Serendah di Hulu Selangor diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan. Foto BERNAMA
PBT SELANGOR

Hulu Selangor unik, tawar banyak lokasi menarik

SHAH ALAM, 15 DIS: Hulu Selangor menawarkan pelbagai lokasi menarik dan unik berbanding kawasan pelancongan lain, menurut Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata antara lokasi menjadi tumpuan adalah Perigi Tujuh Serendah yang merupakan tapak warisan bersejarah di daerah itu.

“Selain tapak warisan bersejarah, daerah ini juga terkenal dengan aktiviti sukan lasak seperti mendaki, rakit redah jeram, berbasikal dan luncur udara di Kuala Kubu Bharu Paragliding Park, Kawasan Tapak Jejak Warisan dan Street Art,” katanya dalam kenyataan.

Pada 12 Disember lalu, MDHS menerima lawatan kerja Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri ke daerah itu bagi meninjau potensi pembangunan aktiviti pelancongan.

Dr Mohd Azhar berkata, pihaknya berharap menerusi lawatan kerja tersebut dapat membantu pihak berkuasa tempatan itu memaju dan memperkenalkan lokasi pelancongan di Hulu Selangor.

“MDHS amat berbesar hati dengan kehadiran Yang Berhormat menteri dan diharap membantu pihak kami untuk memajukan industri ekopelancongan sekali gus meningkatkan bilangan pelancong,” katanya.

Menerusi lawatan itu Nancy berkata Perigi Tujuh Serendah antara 11 butiran di Selangor yang diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

“Sekiranya memenuhi kriteria, tapak ini boleh dicadangkan untuk diangkat statusnya menjadi warisan kebangsaan. Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan selain untuk memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat di tapak perigi tujuh itu,” katanya dalam kenyataan Ahad lalu.


Pengarang :