Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Individu positif Covid-19 perlu sabar sementara ke hospital

PUTRAJAYA, 28 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan individu yang disahkan positif Covid-19 untuk kekal berada di rumah sehingga petugas perubatan daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) hadir untuk membawa mereka ke hospital ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka ini perlu bersabar kerana ketika ini, jumlah individu positif meningkat menyebabkan berlaku sedikit kelewatan dari segi logistik bagi memindahkan pesakit ke hospital.

Beliau berkata pendekatan terbaik yang perlu dilakukan oleh individu yang positif Covid-19 ini adalah dengan mengasingkan diri daripada ahli keluarga dan memakai pelitup muka bagi mengelak berlakunya jangkitan.

“Memang ada kelewatan untuk pindahkan (pesakit positif) ke hospital, jadi saya nasihatkan supaya tunggu dan bersabar.

Asingkan diri daripada ahli keluarga dan sentiasa berhubung dengan PKD bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 23 November 2020. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, beliau berkata KKM sedang mempertimbangkan cadangan agar individu yang disahkan positif Covid-19 menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipatuhi sekiranya ingin melaksanakan kuarantin di rumah bagi individu positif Covid-19.

“Pertama, kita kena lihat dari segi kesesuaian rumah, bilik serta bilik air dan kedua ialah alat penilai tahap kesihatan iaitu bagaimana petugas boleh pantau tahap kesihatan pesakit di rumah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini KKM masih mengekalkan dasar pesakit positif perlu dikuarantin di hospital.

Melihat kepada peningkatan kes melibatkan pekerja pula, Dr Noor Hisham berkata terdapat cadangan agar asrama majikan digunakan sebagai tempat kuaratin.

“Sebelum ini ada asrama digunakan sebagai pusat kuarantin bagi kes positif tahap satu dan dua iaitu mereka yang bergejala ringan.

Kita pernah gunakan cadangan ini ketika jalankan kawalan melibatkan Kluster Teratai dengan asrama Blok A dan B digunakan sebagai pusat kuarantin,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata keupayaan Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan kes Covid-19 masih mencukupi dengan 120 hospital untuk membuat saringan, 50 hospital untuk rawatan, 63 makmal dan lebih sejuta kit ujian pantas (RTK) diperoleh setakat ini.

Memberi contoh kapasiti di fasiliti KKM di Lembah Klang, beliau berkata terdapat enam kemudahan dengan jumlah 11,493 katil dan kadar penggunaan 58 peratus.

Dr Noor Hisham berkata 89 hingga 90 peratus kes masih dalam Kategori 1 dan 2 yang tidak bergejala atau mempunyai simptom ringan sementara kes dalam Kategori 3 hingga 5 meningkat kepada 11 peratus daripada tujuh peratus.

-BERNAMA


Pengarang :