Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika sesi perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jais tubuh pasukan khas siasat kes tipu logo halal – EXCO

SHAH ALAM, 4 DIS: Pasukan khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ditubuhkan untuk menyiasat isu penipuan logo halal daging sejuk beku import di pasaran tempatan.

EXCO agama berkata Kerajaan Negeri juga menerima maklumat lengkap berhubung perkara itu daripada Bahagian Pengurusan Halal jabatan tersebut serta memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

“Saya dimaklumkan oleh Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad bahawa pasukan khas sudah menjalankan siasatan di bawah peruntukan Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Kerajaan Negeri memandang serius pendedahan ini yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat di Selangor serta Malaysia,” kata Mohd Zawawi Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Beliau meminta rakyat bertenang serta tidak menyebarkan maklumat tidak tepat dan menyarankan mereka mempunyai maklumat berhubung premis menyalah gunakan tanda halal melaporkan kepada Jias di talian 03-55143725/3696/3486.

Kelmarin pihak berkuasa membongkar taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging itu dengan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran Malaysia.


Pengarang :