Daging kambing sejuk beku import dari New Zeland yang mempunyai logo halal dan kod bar ketika tinjauan di sebuah gudang pembekal dan pengeluar makanan sejuk beku Lucky Frozen Sdn Bhd di Segambut, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jakim sedia pelan tindakan tangani isu daging seludup

PUTRAJAYA, 29 DIS: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan pelan tindakan khusus untuk menangani isu daging seludup yang tidak berlogo dan diiktiraf, bagi memastikan kegiatan itu tidak berlaku di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 5 Januari ini bagi menjayakan pelan berkenaan.

Menurutnya fokus perbincangan bertujuan menyelaras tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing, langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani isu ini, serta Pelan Tindakan Bersepadu berhubung pengimportan dan produk daging.

Beliau berkata pelan tindakan itu akan turut menyentuh isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pengedar, serta memberi penjelasan mengenai keperluan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pengimportan dan pengedaran.

“Selain itu, perbincangan meja bulat juga akan diadakan antara pengimport dan pengedar daging serta produk daging, dengan KPDNHEP, Maqis dan JKDM pada 11 Januari,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Jakim juga menggalakkan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) melalui skim Logistik (Pergudangan) dan mensyaratkan pemegang sijil mendapatkan bekalan daging dari pengimport atau pengedar yang telah dipersijilkan halal di bawah skim logistik (pergudangan),” menurutnya.

Menerusi pelan tindakan itu juga, Abdul Aziz berkata Jakim akan mempromosikan Badan Pensijilan dan Logo Halal Luar Negara yang diiktirafnya, dan menurutnya sehingga hari ini, 84 badan pensijilan halal luar negara di 46 buah negara telah diiktiraf.

“Dengan ini, pengguna boleh mengenal pasti logo-logo halal luar negara yang diiktiraf Jakim pada label bungkusan produk import yang dijual di pasaran; dan pengimport mudah mengenal pasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia bagi mengelak kerugian dan keraguan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata lawatan ke rumah sembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan bagi memastikan isu daging haram tidak berterusan.

”SOP terbaru dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari depan,” katanya dan menambah pihaknya berharap industri daging import dan tempatan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

-BERNAMA


Pengarang :