Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) menandatangani poster sebagai gimik pelancaran majlis Peluncuran Buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011” sambil disaksikan Datuk Che Shamsudin Osman (kanan) di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jangan pinggirkan bahasa, budaya dan sastera – Anwar

SHAH ALAM, 30 DIS: Aspek bahasa, budaya dan sastera tidak harus diremehkan memandangkan ia merupakan asas kehidupan manusia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata masyarakat kini dilihat lebih mengutamakan bidang ekonomi dan teknologi dan menganggap ia tuntutan penting negara.

“Ini tidak salah tapi bila isu seni, budaya diremehkan, ia akan mengakibatkan nilai akhlak dan etika asas manusia dipinggirkan,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 karya Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman.

Menurutnya, karya sastera merupakan satu penyampaian indah serta tulus yang tidak mungkin dapat dihasilkan setiap individu.

“Terpancar dari hati berkenaan visi dan wawasan. Ini menjadikannya indah dan bukan hanya luahan rasa peribadi. Bila digabungkan ia menghasilkan mutu seni yang amat tinggi nilainya,” kata Anwar.

Datuk Che Shamsudin Osman atau Dinsman berucap ketika majlis Peluncuran Buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011” di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Dinsman berkata buku beliau memuatkan hasil karya yang menggambarkan dunia gelap dalam bidang seni dan sastera.

Katanya, sebahagian kandungan buku terbabit tidak diketahui memandangkan ia hanya dikeluarkan di akhbar Harakah sahaja.

“Saya mahu menganjurkan seminar era reformasi yang cuba digelapkan pihak tertentu namun ia agak sukar.

“Sepatutnya seminar ini dijadualkan berlangsung sebelum Covid-19 namun terpaksa ditunda. Ia mendapat kerjasama dari Akademi Pengajian Melayu di UM (Universiti Malaya). Saya tidak tahu sama ada orang lain berani mengadakannya (selepas ini),” katanya.

Karya Dinsman itu mempunyai keunikan tersendiri yang menceritakan latar proses reformasi negara sepanjang 2008 hingga 2011.

Isi kandungan buku itu turut memuatkan pengalaman perjuangannya dalam membentuk masyarakat, polisi dan negara dari pelbagai sudut selain terdapat nukilan khas untuk Anwar.


Pengarang :