Reaksi seorang pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD bermula pada 17 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangkitan Covid-19 di Malaysia terus rekod empat digit

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Jangkitan pandemik Covid-19 di Malaysia terus merekodkan empat digit dengan 1,870 kes baharu dilaporkan hari ini dan Johor buat pertama kalinya melaporkan kes harian tertinggi iaitu 607.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif mencecah 110, 485 dengan kes aktif meningkat kepada 22,562.

“Peningkatan kes di Johor disebabkan oleh kluster berkaitan penjara iaitu kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes, ini diikuti oleh Selangor sebanyak 472 kes dan Sabah sebanyak 280 kes,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga memaklumkan pandemik ganas itu meragut enam lagi nyawa menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 463 kes.

Katanya sebanyak 745 kes sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 87,460.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 131 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan lebih lanjut jumlah kes mengikut negeri selain Johor, Selangor dan Sabah, beliau berkata Kuala Lumpur mencatatkan sejumlah 219 kes diikuti Pulau Pinang (69), Kelantan (56), Perak (56) manakala Perak dan Pahang masing-masing 48, Negeri Sembilan (34), Kedah (23), Melaka (8), Labuan serta Terengganu masing-masing dua kes dan Putrajaya satu kes.

Katanya kes kematian pula melibatkan empat lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia lingkungan 45 hingga 69 tahun iaitu empat di Sabah serta masing-masing satu di Johor dan Selangor.

– BERNAMA

 


Pengarang :