BUDAYARENCANA

Jargon: Ketidakjujuran bahasa

Oleh Jaymani Sevanathan

SECARA umumnya, jargon bermaksud bahasa khusus yang digunakan dalam bidang atau kepakaran tertentu. Walaupun jargon dilihat penting dalam bidang pekerjaan kerana idea dapat dikongsi dengan lebih cekap dan berkesan, ia sebenarnya memudaratkan jika dilihat menerusi perspektif lain. Hal ini kerana jargon mewujudkan batas kefahaman menerusi komunikasi dan penulisan. Persoalannya, bagaimana jargon boleh menjadi tipu daya bahasa khususnya dalam penulisan?

Asmah Haji Omar (1984) menyebut bahawa jargon adalah gejala yang sudah mati yang tidak akan membawa kita ke mana-mana dan tidak bermakna apa-apa. Begini, bahasa merupakan alat untuk mengekspresi dan bukannya untuk mencegah pemikiran masyarakat. Setiap tindakan dalam penggunaan bahasa memberi impak mendalam terhadap bagaimana kita berhubungan dengan dunia dan begitu juga sebaliknya. Tulisan yang baik mampu menghubungkan pembaca dan penulis. Apabila seorang penulis berkarya atau menyampaikan isi fikirannya, dia tidak lagi menulis untuk lingkungan ahli bidangnya, tetapi merangkumi khalayak umum dan dari pelbagai latar belakang.

Bayangkan kegelisahan yang mungkin dialami pesakit ketika membaca risalah rawatan gigi sebuah klinik, “Lesi karies memerlukan restorasi.” Berkemungkinan besar pesakit menarik nafas lega sekiranya rawatan tersebut diterangkan dalam bahasa mudah: “Gigi reput memerlukan pemulihan”. Contoh lain pula, Mak Cik Kiah mengaru-garu kepalanya apabila membaca berita akhbar tempatan yang bertajuk “Datuk Mahad tiada locus standi untuk menyaman Razak”. Alangkah baik sekiranya “locus standi” digantikan dengan “hak perundangan”.

Sering kali kita melihat pengaplikasian jargon sebagai modal intelektualisme termasuk dalam media sosial kerana kononnya ungkapan canggih menjadikan penulis kelihatan arif dalam berbahasa. Namun malangnya, bukan para cendekiawan yang terhasil, tetapi ‘mat jargon’. Penggunaan diksi megah tersebut sebenarnya meminimumkan makna sebenar yang ingin disampaikan. Penulis harus ingat bahawa pembaca tidak wajar bergelut dengan definisi kata. Sebaliknya, hanya perlu bergelut dengan implikasi yang diberikan di sebalik kata-kata itu. Tambahan pula, pembaca tidak memerlukan laras bahasa yang tinggi sebaliknya kosa kata yang meluas dan segar.

Jargon juga digunakan sebagai usaha penulis dalam menyembunyikan kebenaran, fakta atau hujah penting yang tidak ingin diperkatakan bagi menyesatkan pembaca. Dalam keadaan ini, sekiranya pendapat atau cadangan ditentang, jargon digunakan sebagai peluru untuk mengelirukan dan meyakinkan lawan dengan frasa-frasa yang kabur. Ia berlaku dengan kerap dalam politik, birokrasi dan korporat kerana jarang yang akan melawan serta mempersoal. Juga, jargon bertindak sebagai penyalahgunaan makna dalam dunia kapitalis untuk memanipulasi pengguna barang dan perkhidmatan demi mengaut keuntungan.

Sejak dari bangku sekolah, kita dimomok-momokkan bahawa karangan yang cemerlang perlu mengandungi istilah bombastik dan langka. Justeru, kita akan cuba memasukkan kata-kata yang samar demi mendapatkan markah lebih dan pujian semata-mata. Paling tidak, untuk menonjolkan “kegeniusan” kita di hadapan rakan-rakan sekelas. Tabiat buruk itu diteruskan sehingga ke alam dewasa, tetapi kali ini menggunakan jargon supaya kedengaran kritikal di hadapan pembaca.

Penggunaan kata yang rumit bukannya disebabkan penulis tersebut memillki keterikatan tertentu dengan gaya tersebut. Namun, disengajakan dengan niat menutup kejahilan diri sendiri. Tiada sesiapa akan berani mendampingi penulis sebegini kerana dianggap tajam akal. Sesetengah penulis berpendapat bahawa dengan membina kata-kata kompleks, ia membuktikan bahawa mereka memahami perkara berat. Jadi, wujudlah sebuah jurang antara tujuan nyata dan yang sengaja dinyatakan. Penulis gagal bersikap jujur dengan pembaca dan tanpa disedari, dia sebenarnya menipu dirinya juga. Kerana penulis yang tidak mampu menjelaskan dengan ringkas, mereka sebenarnya tidak cukup memahaminya.

George Orwell dalam eseinya, Politics and the English Language (1946) tampil berbicara bahawa seseorang penulis yang teliti, dalam setiap kalimat yang ditulisnya, akan bertanya sekurang-kurangnya empat pertanyaan: (1) Apa yang ingin saya perkatakan? (2) Kata-kata apa yang akan menyatakannya? (3) Imej atau ungkapan apa yang akan menjadikannya lebih jelas? (4) Adakah imej ini cukup segar untuk memberi kesan? Juga, dia berkemungkinan akan bertanya dua lagi soalan: (5) Bolehkah saya meringkaskannya? (6) Adakah saya telah mengatakan sesuatu yang agak buruk? Penyataan Orwell ini sudah semestinya mengingatkan kita supaya sentiasa mengutamakan pembaca melalui penulisan bersifat minimalis, ringkas tetapi padat, bersahaja dan paling penting, tidak menggunakan jargon.

Pembaca terikat dengan masa. Mereka tidak akan berhenti sejenak semata-mata untuk mencari makna sesebuah jargon. Akibatnya, sebilangan besar sebenarnya akan terkapai-kapai seterusnya suatu perasaan terasing timbul. Benar, seiring teknologi, kita dapat mengakses kamus dalam talian di hujung jari dan tidak seharusnya bersikap malas. Tetapi bukan semua istilah teknikal dapat ditemui dengan mudah kerana ada yang diwujudkan mengikut konteks keperluan. Ini dapat dibuktikan apabila perkataan “pempengaruh” dan “penjarakan fizikal” hanya digunakan secara meluas sejak kebelakangan ini.

Jargon juga berbahaya kerana segelintir pembaca mungkin berpura-pura memahami, maka mereka tidak akan memberi sebarang reaksi disebabkan tidak mempunyai idea yang jelas tentang apa yang penulis kemukakan. Juga, tidak terkecuali pembaca yang salah faham mesej sebenar yang penulis cuba sampaikan dan akhirnya menjurus kepada konflik. Pada zahirnya, usaha penulis ternyata sia-sia manakala pembaca pula semakin terkeliru.

Tidak dapat disangkal, musuh terbesar bahasa adalah ketidakjujuran. Menulis dengan sederhana tidak bermakna kita jahil – biar biasa asal berbisa.

 

 


Pengarang :