Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Muhammad ‘Aifaa Ibrahim (kiri) bersama rakan bertugas dalam rasa bahang sambil menahan lapar dan dahaga ketika Ramadan untuk merawat pesakit mempunyai simptom Covid-19.
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jumlah kes Covid-19 di HTAR, Hospital Serdang meningkat

SHAH ALAM, 20 DIS: Kes positif Covid-19 melibatkan pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Serdang merekodkan pertambahan enam lagi kes hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata HTAR merekodkan empat kes positif Covid-19 membabitkan masing-masing dua kakitangan kesihatan dan pesakit manakala di Hospital Serdang pula pertambahan dua kes membabitkan kakitangan kesihatan.

“Keseluruhannya, di HTAR terdapat 143 kes positif melibatkan 62 kakitangan kesihatan dan 81 pesakit manakala di Hospital Serdang terdapat 65 kes keseluruhan melibatkan 37 kakitangan dan 28 pesakit.

“Kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Dr Sha’ari, keadaan jangkitan Covid-19 di kedua-dua hospital berkenaan adalah terkawal dan sejumlah kakitangan yang tamat menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO) telah kembali bertugas.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih menyiasat punca jangkitan berkenaan.

Jumaat lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 72 petugas HTAR sedang menjalani perintah HSO kerana jangkitan Covid-19 manakala di Hospital Serdang pula jangkitan itu membabitkan 29 petugas perubatan serta 28 pesakit dengan angka jangkitan di kedua-dua hospital itu terus meningkat.

– BERNAMA


Pengarang :