Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman berjaya memujuk seorang warga emas Mohd Daud Osman, 61, yang menghidap penyakit saraf tunjang untuk berpindah keluar ke tempat selamat susulan jalan utama di Kampung Pulau Tempurung ditenggelami air, ketika tinjauan hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan terus meningkat

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Jumlah mangsa banjir di pantai timur Semenanjung melibatkan Terengganu dan Kelantan semakin meningkat setakat pukul 5 petang tadi, dengan beberapa sungai dilaporkan melepasi paras bahaya.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 7,403 orang daripada 1,786 keluarga setakat pukul 4 petang, berbanding 6,305 orang daripada 1,663 keluarga pada pukul 8 pagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, ketika ini terdapat 47 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu 28 di Kemaman, Dungun (15), Hulu Terengganu (tiga) dan Setiu (satu).

“Daerah yang paling teruk terjejas iaitu Kemaman terus merekod pertambahan jumlah mangsa kepada 6,623 orang daripada 1,572 keluarga berbanding 5,108 orang daripada 1,238 keluarga pagi tadi, sementara Dungun pula, jumlah mangsa bertambah kepada 663 orang daripada 186 keluarga berbanding 381 orang daripada 104 keluarga sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, situasi banjir di Hulu Terengganu bertambah baik, apabila mangsa berkurangan kepada 106 orang daripada 25 keluarga, berbanding 806 orang daripada 318 keluarga pagi tadi, manakala di Setiu jumlah mangsa kekal 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal http://infobanjir.water.gov.my melaporkan, tiga sungai di dua daerah di Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat pukul 4 petang ini.

Dua sungai di Kemaman yang terlibat adalah Sungai Tebak dengan paras air di Jambatan Tebak setinggi 18.96 meter (m) melebihi paras bahaya 18.5m dan Sungai Kemaman di Kampung Paman setinggi 5.6m (bahaya 4.5m), sementara di Dungun, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau mencatat paras setinggi 13.06m (bahaya 12.5m).

Sebahagian penduduk terpaksa meredah air menggunakan kenderaan berikutan limpahan air Sungai Golok di sekitar Pekan Rantau Panjang ketika tinjauan hari ini. Foto BERNAMA

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir semakin meningkat mencecah 1,214 orang daripada 402 keluarga dipindahkan setakat pukul 5 petang, berbanding 1,003 orang pada pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penduduk jajahan Pasir Mas kekal terjejas teruk, iaitu seramai 913 orang dipindahkan di 12 PPS sementara di Tanah Merah, seramai 143 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di lima PPS, manakala di Kuala Krai seramai 153 mangsa daripada 43 keluarga di tempatkan di lima PPS.

PPS di jajahan Gua Musang yang dibuka pada malam semalam yang menempatkan 13 mangsa telah ditutup.

Sementara itu mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, tiga sungai di Kelantan mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya.

Sungai Lebir Tualang di Kuala Krai merekodkan bacaan 36.95m (bahaya 35m), Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.08m (bahaya 25m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang 10.42m (bahaya 9m).

Dalam pada itu, empat sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang 57.93m (amaran 57.50m), Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah 15.93 (amaran 14m), Sungai Golok di Jenob Tanah Merah 23.24m (amaran 22.50m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat 2.42m (amaran 2.15m).

Selain itu, tiga sungai mencatatkan bacaan melebihi paras waspada iaitu Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu 3.79m (waspada 3m), Sungai Galas di Dabong 33.62m (waspada 32.00m) dan Sungai Pergau di Air Bol Jeli 72.86m (waspada 71.30m).

Cuaca di seluruh Kelantan ketika ini masih hujan dengan sesekali lebat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Tempurung, Kemaman Terengganu Mohd Azam Ismail berkata keengganan beberapa penduduk terutama warga emas berpindah, menimbulkan kesukaran kepada pasukan penyelamat.

“Pukul 3 pagi tadi MPKK dan polis telah berusaha pujuk sepasang warga emas untuk pindah tapi ada yang degil. Tiba-tiba pukul 12 tengah hari dapat panggilan telefon minta bantuan dari ahli keluarga mereka kerana si isteri yang menghidap kencing manis, telah mengalami simptom hipoglesemia.

“Ada sepasang lagi warga emas pun begitu. Akhirnya minta pertolongan bawa keluar suami yang lumpuh untuk pergi ke rumah anaknya, kerana laluan ke kawasan rumah mereka telah dinaiki air pada tengah hari tadi,” katanya.

Beliau berkata antara alasan yang diberikan warga emas terbabit termasuklah haiwan ternakan yang dibela mereka dicuri, jika mereka pindah ke PPS.

– BERNAMA


Pengarang :