Hospital Sungai Buloh dilengkapi pelbagai kemudahan khusus bagi merawat penyakit berjangkit. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kakitangan Hospital Sungai Buloh ada simptom Covid-19 digalak buat pemeriksaan kendiri

SHAH ALAM, 27 DIS: Hospital Sungai Buloh sentiasa menggalakkan semua kakitangan yang mempunyai simptom jangkitan Covid-19 membuat pemeriksaan kendiri secara berkala.

Pengarahnya berkata langkah pencegahan itu juga diambil jika warga hospital berkenaan terdedah kepada risiko jangkitan wabak secara sengaja atau sebaliknya.

Dr Kuldip Kaur A/P Prem Singh menjelaskan sebagai hospital yang merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya, pihaknya menekankan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan kakitangan.

“Sebagai inisiatif mengelakkan sebarang pelanggaran berterusan terhadap mana-mana SOP, pihak hospital akan mengeluarkan surat tunjuk sebab bagi mereka yang ditangkap berulang kali kerana tidak mematuhi SOP sekali gus membahayakan keseluruhan organisasi.

“Meskipun begitu, pihak hospital tidak menyasarkan mereka yang dijangkiti. Kita sentiasa memberi sokongan dan penjagaan diperlukan kepada staf dijangkiti Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap laporan sebuah portal berita yang mendakwa staf hospital terbabit diberi amaran tindakan disiplin jika dijangkiti Covid-19 gara-gara ingkar SOP.

Menyangkal dakwaan itu, Dr Kuldip berkata pihak pengurusan hanya menjalankan tindakan dalaman terhadap mereka yang didapati melanggar SOP sebelum jangkitan berlaku.

Menurutnya, pihak hospital tidak pernah mengambil tindakan ke atas kakitangan terkena jangkitan wabak tersebut.

“Pihak hospital menyedari bahawa ada pelbagai kemungkinan seseorang anggota kesihatan dijangkiti Covid-19. Terdapat juga yang dijangkiti tanpa disengajakan atau bukan kerana melanggar SOP.

“Dalam hubungan ini, pihak hospital bertanggungjawab menjaga semua pesakit tanpa mengira bagaimana mereka dijangkiti Covid-19,” katanya.


Pengarang :