Antara bungkusan daging yang dijual di sebuah pasar raya ketika tinjauan pada 22 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kartel daging import, dedahkan dalang libat kenamaan

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerajaan diminta tidak melindungi golongan kenamaan yang terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran daging import haram.

EXCO pembangunan usahawan berkata siasatan telus perlu dibuat dan dikongsi kepada rakyat kerana isu berkenaan menimbulkan kegelisahan mutakhir ini.

Rodziah Ismail menegaskan dalang kartel daging perlu diheret ke muka pengadilan berikutan ia melibatkan industri halal dan sensitiviti umat Islam.

Rodziah Ismail bercakap pada sidang media berkaitan perumahan di Hotel De Palma Seksyen 19, Shah Alam pada 22 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Isu ini juga bukti kegiatan rasuah dan salah guna kuasa pengurusan kerajaan melibatkan penjawat awam yang serius dan memerlukan tindakan agresif serta proaktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, wakil rakyat Batu Tiga turut mencadangkan harga daging import diturunkan bagi membantu usahawan tempatan dan menghapuskan korupsi.

Pada 21 Disember, media melaporkan kegiatan kartel menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Kartel tersebut dikatakan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa masuk antaranya daging kangaru dan kuda.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai berlarutan lebih 40 tahun lalu.


Pengarang :