Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas memantau tembok sempadan di kawasan Op Pagar 2 di sempadan negara, Bukit Kayu Hitam pada 28 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kawalan bersepadu di sempadan utara negara bermula Januari

BUKIT KAYU HITAM, 12 DIS: Operasi kawalan sempadan di bahagian utara Semenanjung tanah air akan dilaksanakan secara bersepadu termasuk dari segi rondaan kawasan oleh semua agensi keselamatan yang berkaitan, mulai Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu yang membabitkan tiga agensi iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) adalah antara penambahbaikkan yang akan dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan kawalan.

“Sekarang ini dari segi kawalan kita bahagikan kawasan, sebagai contoh kawasan di sini dijaga oleh ATM di bawah Op Pagar 2 dan di kawasan lain pula dijaga oleh PDRM (di bawah Pasukan Gerakan Am), jadi kita membahagikan kawasan.

“Mulai tahun depan, kita akan mulakan Op Benteng sebenar seperti dilaksanakan di kawasan lain terutamanya di kawasan penjagaan laut seperti di pantai barat Semenanjung dan Sabah serta Sarawak iaitu operasi secara bersepadu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, langkah itu akan membolehkan pasukan keselamatan yang melakukan rondaan secara bersama membuat tangkapan ke atas penceroboh mengikut peruntukkan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi berkaitan.

“Dari segi kuasa, ATM tiada kuasa menangkap, jadi bila terdapat pencerobohan, polis akan dipanggil untuk bantu dari segi tangkapan, ATM pula hanya boleh bertindak terhadap pihak yang dianggap sebagai musuh negara.

“Jadi, bila keadaan di mana pendatang tanpa izin dan penyeludup masuk ke negara kita, mereka tidak dianggap musuh negara walaupun ATM mengawal sempadan, jadi polis atau Aksem yang boleh mengambil tindakan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membina dua pos kawalan terkoordinasi di Padang Terap yang turut melibatkan kerjasama dengan pihak keselamatan negara jiran bagi mengukuhkan kawalan sempadan di kawasan berkenaan.

Katanya, aset-aset seperti motosikal, kenderaan pelbagai permukaan (ATV) dan dron juga akan ditambah mulai Jan ini dan kementeriannya juga akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menyediakan peruntukan bagi memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan membina radar di sempadan negara.

“Sebab, saya difahamkan mereka (penceroboh) tahu timing pergerakan kawalan kita, jadi dengan penggunaan dron dan CCTV selain radar kita boleh tahu setiap pergerakan di sempadan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri mengadakan lawatan kerja ke penempatan Tentera Darat dan kawasan operasi kawalan sempadan di sini.

-BERNAMA


Pengarang :