Selangorkini
Salah seorang atlet memanah menjalani latihan untuk persediaan Sukma Johor 2020. Foto: Skuad Mamanah Selangor
AGENDA SUKANKINI

KBS yakin program sukan kembali rancak tahun depan

PASIR MAS, 27 DIS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin aktiviti sukan yang suram pada tahun ini akan kembali rancak pada tahun depan meskipun negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Timbalan Menterinya Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pada masa sama kementeriannya akan memastikan segala tatacara operasi piawai (SOP) tidak diabaikan jika kerajaan bersetuju membenarkan beberapa acara sukan itu diadakan.

“Kita (KBS) sedang melihat segala kemungkinan sebelum menganjurkan acara-acara sukan. Disebabkan itu, kita telah memperkenalkan model gelembung sukan dan tidak membuka ruang untuk penonton bagi sesetengah sukan.

“KBS melihat bagaimana rakyat telah dapat menerima perkara baharu ketika ini namun kita yakin acara sukan akan kembali rancak pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sukarelawan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong di sini hari ini.

Katanya model gelembung sukan yang akan diperkenalkan oleh KBS awal Januari depan ialah dengan penganjuran acara sukan permotoran percubaan di Litar Antarabangsa Sepang apabila pasukan MotoGP dari luar negara akan datang melakukan percubaan di litar tersebut.

Beliau berkata menerusi model gelembung sukan itu, penunggang tidak boleh keluar dari kawasan tersebut selain jumlah kehadiran penonton juga terhad.

“Penganjuran percubaan MotoGP itu merupakan satu eksperimen sebelum dijalankan terhadap acara sukan lain dan kita mahu melihat bagaimana rakyat dapat mengadaptasi kelaziman baharu melalui sukan,” katanya.

Ditanya mengenai penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan 2026, Wan Ahmad Fayhsal berkata kerajaan pusat melalui kementeriannya akan membantu dalam pembinaan beberapa venue utama seperti stadium dan kompleks sukan.

“Kita akan tunggu peruntukan yang akan dibentangkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 pada penghujung Januari depan.

“Kos keseluruhan penganjuran Sukma 2026 masih dalam perbincangan dan KBS komited untuk membantu Kelantan terutamanya dalam aspek pembinaan infrastruktur baharu di negeri ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :