Permodalan Nasional Berhad (PNB) membuat pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 secara maya pada 23 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KEADILAN cadang agihan Ehsan ASB dikekal, tumpu golongan B40

SHAH ALAM, 23 DIS: Pemberian dividen khas bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) perlu dikekalkan dengan keutamaan kepada akaun golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Wakil rakyat Setiawangsa berkata langkah itu bagi memastikan golongan terbabit mendapat keuntungan lebih tinggi berbanding pemegang unit yang memiliki jumlah pelaburan besar.

Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan hampir 80 peratus atau 7.4 juta pemegang unit ASB mempunyai unit kurang RM5,000 pada 2018 sementara 0.24 peratus memiliki RM500,001 dan ke atas.

Menurutnya, pemegang unit ASB dalam kalangan B40 hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah.

“Pendekatan ASB selama ini relevan ketika penubuhannya dahulu tetapi perlu ada penyesuaian agar penerima manfaat terbesar adalah golongan Bumiputera B40 dan M40,” katanya yang juga ketua pengelola setiausaha Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam kenyataan.

“Saya berasa tiba masanya untuk Permodanan Nasional Berhad (PNB) menjadikan pemberian dividen bertingkat sebagai dasar tetap bagi akaun B40 dan M40 seperti dilaksana Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura.”

PNB hari ini mengumumkan agihan pendapatan 5.0 sen seunit untuk dana unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 30 Disember 2020.

Pendapatan merangkumi 4.25 sen seunit dan agihan Ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama sempena ulang tahun ke-30 ASB.


Pengarang :