Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021. Foto: Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Keadilan tidak tercapai jika abai isu kemiskinan – Anwar

SHAH ALAM, 10 DIS: Keadilan tidak tercapai jika masalah kemiskinan, peminggiran dan kejahilan tidak diberikan perhatian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata keadilan dan hak asasi manusia terus dinafi dan diinjak sekiranya kekayaan hasil negara hanya dinikmati sekumpulan kecil individu sedangkan ramai rakyat masih menderita.

“Isu hak asasi manusia adalah isu amat dekat dengan kita, dan ia termasuk isu berkait dengan masalah kesenjangan yang semakin parah, kemiskinan dan juga bagaimana harus kita tangani masalah diskriminasi di pelbagai tingkat dan sektor dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan media sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia 2020.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata suasana pandemik hari ini memaksa untuk didepani pelbagai isu yang selama hari ini sering dikesampingkan terutamanya persoalan hak asasi manusia.

Katanya, ramai beranggapan bahawa konsep hak asasi manusia bertentangan dengan nilai dan budaya di Malaysia.

“Pokoknya, persoalan keadilan dan kesaksamaan adalah ciri penting membangun masyarakat madani dan moden. Konsep yang memungkinkan impian tersebut adalah ‘karamah insaniah’ seperti ditegaskan al-Quran dalam surah al-Isra’ (ayat 70),” katanya.

 


Pengarang :