BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kempen 11.11 Jualan Mega Shopee, Lazada rekod jualan RM30 juta

SHAH ALAM, 4 DIS: Kempen beli-belah dalam talian, e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega merekod hasil jualan sebanyak RM30 juta, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif tersebut berjaya membantu peniaga menjana semula pendapatan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Nilai jualan ini menunjukkan perniagaan dalam talian semakin berkembang serta mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan, jadi peniaga perlu memanfaatkan peluang.

“Kerajaan Negeri komited membantu peniaga meneroka ruang e-dagang kerana digitalisasi memberi harapan kepada kita untuk memulihkan ekonomi lebih cepat,” katanya dalam ucapan secara maya pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Top E-Commerce Merchant Award 2020 semalam.

Beliau berkata program beli-belah dalam talian bersama Shopee dan Lazada itu mencatat kesan limpahan ekonomi bernilai RM700 juta.

Selangor menganjurkan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega selama sebulan bermula 26 Oktober dengan peruntukan RM2 juta.

Program itu bertujuan mendorong sektor perusahaan kecil dan sederhana memanfaat pendigitalan dalam perniagaan, sementara kedua-dua syarikat e-dagang terbabit menerima subsidi baucar RM1 juta.


Pengarang :