Foto menunjukkan suhu sesuai bagi menempatkan vaksin Covid-19 dalam kotak ais khas Pfizer di makmal syarikat Desmon SPA di Nusco wilayah Campania, Itali pada 27 November 2020. Foto AFP
AGENDAEKONOMINASIONAL

Kemudahan MABkargo mampu kendali vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 DIS: MAB Kargo Sdn Bhd (MABkargo) mempunyai infrastruktur mencukupi bagi memastikan pengendalian, pengangkutan dan pengedaran vaksin Covid-19 selamat ke Malaysia atau ke rantau di dalam atau luar daripada rangkaiannya menerusi penerbangan komersial atau penerbangan kargo penuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB) Kapten Izham Ismail berkata dengan rekod prestasinya dengan keupayaan pesawat, infrastruktur lapangan dan kakitangan berkelayakan  dimiliki, MABkargo mampu menyokong kerajaan di seluruh dunia dalam tanggungjawab mengendali, mengangkut dan mengedar vaksin Covid-19 kepada rakyat mereka.

Beliau berkata cabang kargo kumpulan itu mengendalikan tiga pesawat kargo khusus dan menggunakan ruang kargo pesawat penumpang MAB yang mampu menyediakan persekitaran suhu terkawal, sesuai untuk vaksin kebiasaannya memerlukan pembungkusan dan pengendalian pada suhu melebihi tahap sejuk beku.

“Keupayaan kami termasuk kontena peranti muatan unit pesawat (ULD) direka khas untuk mengawet produk sejuk beku pada suhu diperlukannya, operasi lapangan memenuhi syarat untuk mengendalikan produk sensitif terhadap suhu dan masa dengan selamat dan terjamin, dan paling penting, kakitangan  terlatih dan berkelayakan mengendalikan barangan profesional,” katanya.

Beliau turut menyatakan MABKargo sebelum ini pernah mengangkut barangan sensitif terhadap suhu dan masa selain daripada vaksin dan produk perubatan seperti organ manusia serta sampel biologi memerlukan pengendalian serupa.

Sejak bermulanya krisis Covid-19, MABKargo bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan bagi mengangkut lebih 33,000 tan metrik peralatan perubatan serta barangan bantuan bencana ke rantau terjejas di seluruh dunia menerusi 1,067 penerbangan menggunakan pesawat penumpang  dijadikan pesawat kargo dan kargo di kabin, katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :