Pengusaha kendera saji Suhartini Mohamad Robangi bersama kenderaan yang diterima di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 10 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSISELANGOR

Kendera saji mudahkan urusan niaga, bergerak ke lokasi berbeza

SHAH ALAM, 11 DIS: Meneruskan perniagaan menggunakan kendera saji membuka lembaran baharu buat peniaga Industri Kecil dan Sederhana, Suhartini Mohamas Robangi.

Usahawan berusia 29 tahun yang menjaja murtabak mini, putu piring dan popia menghargai bantuan Kerajaan Negeri dan Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah) yang mengubah cara perniagaannya dari bawah payung kepada kenderaan berbumbung.

“Dengan adanya kendera saji ia memudahkan pergerakan saya untuk berniaga di pelbagai lokasi berbeza tanpa perlu lagi menggunakan van yang sudah berusia lebih 20 tahun,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kendera saji oleh EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail di perkarangan Wisma Kohijrah.

Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail (dua, kiri) bersama Suhartini Mohamad Robangi (dua, kiri) melihat kendera saji yang baru diterima di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 10 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN

Mengulas mengenai permohonan Kohijrah, Suhartini berkata maklumat berhubung perkara itu diperoleh media sosial dan tanpa berfikir panjang beliau terus mencuba nasib untuk memohon.

“Alhamdulillah prosesnya sangat mudah hanya mengambil masa dua bulan dan permohonan saya diluluskan malah kakitangan Kohijrah juga berkerjasama serta membantu apabila diperlukan.

“Saya menggalakkan peniaga atau mereka yang baharu mulakan perniagaan mengambil peluang keemasan ini kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu tambah pendapatan terutama ketika berdepan situasi Covid-19,” katanya yang mewarisi perniagaan keluarga.

Bernaung di bawah perniagaan jenama Bangi Foods, Suhartini yang berniaga di sekitar pasar harian Kuala Kubu Bharu memaklumkan walaupun berubaha cara berniaga beliau tidak berhasrat menaikkan harga jualan makanan.


Pengarang :