Selangorkini
Penghuni dan pekerja di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 Nov sehingga 25 November depan dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan muzakarah isu vaksin Covid-19 diketahui minggu depan

PUTRAJAYA, 4 DIS: Kerajaan akan mengeluarkan kenyataan berhubung penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini minggu depan selepas keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas itu bersidang semalam.

“Perkara ini sudah dibincang tetapi kita akan mengikut secara tertib dan berhemah yang mana kita akan persembah perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Insya-Allah tidak ambil masa yang lama, dalam minggu depan kita akan bagi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan video kreatif bersempena Maulidur Rasul 1442H, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata beliau dalam proses mengeluarkan majalah khas untuk memberi penjelasan dan ulasan berkenaan penggunaan vaksin dalam kalangan umat Islam sebagai usaha menangani permasalahan ummah dengan memberi kefahaman yang sebenarnya mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata majalah setebal 40 muka surat itu akan diterbitkan dalam bentuk santai dan mudah difahami kira-kira dua minggu lagi.

– BERNAMA


Pengarang :