Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan meterai perjanjian pembelian vaksin dengan AstraZeneca Isnin ini

KLUANG, 19 DIS: Kerajaan akan memeterai perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca dari United Kingdom pada Isnin ini bagi pembelian vaksin Covid-19 bagi memenuhi keperluan imunisasi 20 peratus rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia merupakan perjanjian ketiga selepas kerajaan memeterainya dengan COVAX bagi pembelian 10 peratus vaksin dan syarikat Pfizer bagi 20 peratus pembelian sama pada akhir bulan lepas.

“Keseluruhannya, kita (Malaysia) akan dapat membeli vaksin bagi keperluan 50 peratus rakyat daripada syarikat pembekal untuk keperluan rakyat negara ini. Kita akan cuba mendapatkan kesemua bekalan vaksin ini pada suku pertama tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan ‘Aerosol Intubation Box’ oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di Simpang Renggam dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTM Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Dr Adham berkata pada masa sama, kerajaan juga perlu menambah sebanyak 20 peratus lagi pemerolehan vaksin bagi memenuhi keperluan sehingga 70 peratus rakyat Malaysia.

Beliau berkata usaha akan dilakukan bagi menarik syarikat pengeluar vaksin dunia untuk membekalkannya kepada Malaysia.

“Yang penting, syarikat mana yang beri akses cepat kepada vaksinnya dan ia mesti selamat, berkesan serta berkualiti. Mesti ada berkelulusan dari negara pengeluar sendiri dan perlu mendapat kelulusan daripada bahagian Regulotari Farmasi Negara (NPRA) KKM.

“Sekiranya ini selesai, maka kita boleh vaksinkan masyarakat dengan yang pertama sekali ialah dalam kalangan petugas barisan hadapan pada awal 2021,” katanya.

Media hari ini melaporkan bahawa kumpulan pertama vaksin itu akan diperoleh pada Februari 2021 dengan bekalan akan diterima secara berterusan sehingga akhir 2021.

Pada 24 Nov lepas, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

– BERNAMA


Pengarang :