Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Perdana Putra pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan tidak boleh berterusan sekat pergerakan rakyat – Ismail Sabri

ARAU, 12 DIS: Kerajaan tidak boleh menyekat kebebasan pergerakan orang ramai untuk selama-lamanya ekoran pandemik Covid-19 dan menyeru rakyat mematuhi setiap tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat perlu mengawal diri dan elak daripada dijangkiti virus tersebut.

Beliau berkata banyak negara yang tiada kawalan pergerakan, misalnya, Taiwan, tetapi rakyatnya berdisiplin dan mengawal diri mereka sendiri sehingga kes Covid-19 tidak merebak di negara berkenaan.

“Akhirnya kita perlu biarkan mereka (rakyat) bebas juga kerana Covid-19 akan sentiasa ada di sekeliling kita seperti penyakit denggi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Arau.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari kebelakangan ini, Ismail Sabri berkata jumlah tersebut dikesan meningkat setelah kerajaan mewajibkan saringan terhadap semua pekerja asing di negara ini.

“Pekerja warga asing di negara ini berjumlah 888,000.. bayangkan kalau lima peratus positif, berapa jumlahnya. Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah selagi ia tidak merebak dalam komuniti maka kita boleh kawal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menambah dua pos kawalan baharu di sempadan Malaysia-Thailand selain menambah pembelian peralatan baharu seperti dron bagi meningkatkan kawalan.

-BERNAMA


Pengarang :