Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 4 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes baharu Covid-19 di Selangor meningkat, satu lagi kluster baharu

SHAH ALAM, 18 DIS: Jangkitan baharu Covid-19 di Selangor hari ini meningkat kepada 692 kes berbanding 368 semalam menjadikan keseluruhan 23,623, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu merekodkan angka tertinggi dalam negara diikuti Sabah (260) dan Kuala Lumpur (197).

“Sebanyak 175 kes daripada kluster sedia ada termasuk kluster baharu, 169 saringan kontak rapat kepada kes positif manakala 346 lagi melalui lain-lain saringan Covid-19.

“Terdapat juga kluster baharu di Selangor hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Lebuh di Sepang. Ia bermula pada 15 Disember melalui saringan tempat kerja di tapak binaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setakat 18 Disember lalu seramai 285 individu telah disaring menerusi kluster tersebut dan 20 daripadanya didapati positif.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan 325 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan keseluruhan sembuh 15,509.

Katanya, angka kematian di negeri itu kekal 35 orang dan kes aktif dengan kebolehjangkitan 8,079.

Hari ini, sebanyak 1,683 kes baharu pandemik itu dicatatkan di seluruh negara menjadikan keseluruhan 90,816 manakala 1,214 kes pulih dengan jumlah kumulatif sembuh 75,244 atau 82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.


Pengarang :