Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes baharu Covid-19 melonjak kepada 2,018, angka ketiga tertinggi

SHAH ALAM, 21 DIS: Kes baharu Covid-19 terus kekal empat angka apabila sebanyak 2,018 kes direkodkan hari ini iaitu ketiga tertinggi sejak wabak bermula berbanding 1,340 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara 95,327.

Ketua pengarah kesihatan berkata seramai 1,084 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah pulih daripada wabak itu 78,393.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 16,496 kes.

Beliau berkata Selangor masih melaporkan kes harian paling tinggi iaitu sebanyak 1,204 kes dengan 1,115 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan, diikuti Johor (278 kes) dan Sabah (247 kes).

Dr Noor Hisham berkata Kuala Lumpur pula mencatat 127 kes; Negeri Sembilan (58); Labuan (29); Perak (21); Pulau Pinang (18); Pahang (12); dan Melaka (sembilan).

Selain itu, Kelantan mencatat enam kes, Putrajaya (lima), manakala Kedah (tiga) sementara Terengganu (satu).

Sehingga kini, terdapat 109 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 55 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada kenyataan sidang media

Beliau berkata terdapat pertambahan satu kematian Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 438.


Pengarang :