Petugas kesihatan membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk Klang di Taman Bayu Perdana pada 23 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kes Covid-19 di Selangor kembali empat angka, tiga kematian

SHAH ALAM, 31 DIS: Kes baharu Covid-19 di Selangor kembali melonjak kepada empat angka apabila mencatat 1,205 kes dengan kesemuanya membabitkan jangkitan tempatan.

Ketua pengarah kesihatan berkata negeri itu merekodkan kes harian tertinggi iaitu 47.7 peratus daripada keseluruhan jangkitan dalam negara.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 995 kes (82.6 peratus) daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Jumlah kes termasuk daripada kluster baharu iaitu kluster Jalan Gajah dan 210 kes lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya negeri itu turut merekodkan tiga kematian baharu membabitkan dua wanita dan seorang lelaki warganegara menjadikan angka korban sebanyak 45 orang.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan seramai 939 pesakit pulih menjadikan keseluruhan sembuh 21,695.

Keseluruhannya, Selangor mengumpul sebanyak 32,393 kes Covid-19 setakat ini.


Pengarang :