Selangorkini
Petugas Dewan Negeri Selangor dan media melakukan saringan Covid-19 bagi persediaan menghadapi sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Kes Covid-19 Selangor turun tiga hari berturut-turut

SHAH ALAM, 25 DIS: Kes baharu Covid-19 di Selangor merekodkan penurunan dalam tempoh tiga hari berturut-turut bermula Rabu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 461 kes dilaporkan negeri itu hari ini berbanding 491 kes semalam dan 535 kes kelmarin.

Bagaimanapun, jelasnya Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 37 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 dalam negara.

“Daripada jumlah kes di Selangor, sebanyak 309 kes (67 peratus) melibatkan kluster dan saringan kontrak rapat yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Cassia Diamond turut dikesan di Selangor melibatkan Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Gombak serta Barat Daya di Pulau Pinang.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster tersebut dilaporkan positif Covid-19 pada 24 Disember melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 76 individu disaring dengan 25 daripadanya positif,” katanya lagi.


Pengarang :