Kerajaan Selangor memperuntukkan RM5 juta bagi mencegah dan mengawal denggi.
AGENSISELANGOR

Kes denggi di Selangor turun 38 peratus, terus jaga kebersihan

SHAH ALAM, 22 DIS: Kes denggi di Selangor menurun kepada 43,941 setakat minggu ke-51 tahun ini berbanding 70,869 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah kesihatan negeri berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 38 peratus (26,928 kes) dengan 133 kawasan wabak dikesan.

“Lima daerah yang merekod kes denggi paling tinggi ialah Petaling dengan 15,278 kes, Hulu Langat (9,634 kes), Klang (6,896 kes), Gombak (6,532 kes) dan Sepang (2,373 kes).

“Sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 32.7 peratus berbanding 55 kes dalam tempoh sama tahun lepas,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan semalam.

Justeru, beliau sarankan masyarakat mengamal langkah pencegahan dengan membersih sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.


Pengarang :