Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes rasuah: Ku Nan dihukum penjara 12 bulan, denda RM2 juta

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan.

Terdahulu, semasa menyabitkan Tengku Adnan, 70, bersalah terhadap pertuduhan itu, Mohamed Zaini berkata pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah ke atas tertuduh dan Ahli Parlimen Putrajaya itu juga gagal menangkis kes pendakwaan.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Keputusan hari ini menjadi kes berprofil tinggi kedua melibatkan pemimpin UMNO yang didapati bersalah atas tuduhan jenayah yang dibawa semasa pemerintahan Pakatan Harapan selepas Barisan Nasional tumbang pada Mei 2018.

Pada 28 Julai, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mengetuai pasukan pembelaan semasa memohon hukuman yang ringan berkata anak guamnya adalah pesalah pertama dan kesalahan itu bukan jenayah yang sangat kejam.

“Anak guam saya adalah penyumbang yang besar kepada negara dan telah berkhidmat dalam kabinet dan Parlimen selama 17 tahun. Kami memohon tidak dikenakan hukuman penjara dan hanya denda dikenakan terhadap anak guam saya. Saya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda kurang daripada RM2,000 untuk mengekalkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Tan berkata mahkamah perlu mempertimbangkan majoriti tipis di Parlimen dan kerajaan sekarang akan terjejas sekiranya tertuduh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Ini mendorong Mohamed Zaini bertanya: “Haruskah saya prihatin dengan perkembangan politik negara ini?”

Tan menjawab bahawa bagi mahkamah mendapati berlakunya jenayah, mahkamah tidak boleh prihatin tetapi untuk tujuan menjatuhkan hukuman, keputusan mahkamah akan memberi kesan.

“Mahkamah boleh mengambil pengiktirafan kehakiman. Kami mengatakan bahawa ia adalah faktor yang mahkamah boleh pertimbangkan. Kesannya bukan secara terasing tetapi kumulatif dengan yang lain,” katanya.

Peguam itu berkata anak guamnya mempunyai banyak masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, kolestrol dan masalah paru-paru.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berhujah bahawa permohonan pembelaan supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda di bawah RM2,000 supaya tidak kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen bukan hukuman yang sesuai diberikan oleh mahkamah.

“Jumlah dalam pertuduhan adalah RM2 juta dan tertuduh sebelum ini pernah menyatakan wang RM2 juta itu hanya ‘duit poket’ untuknya.

“Tak kan nak hukuman denda RM2,000 untuk elak kehilangan kelayakan. Setiap kali pilihan raya, akan berlaku perubahan. Jika tertuduh tidak menjadi MP (Ahli Parlimen), maka orang lain akan berpeluang memegang jawatan dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Ditanya hakim mengenai jumlah denda yang pihak pendakwaan rasakan sesuai, Julia berkata: “Tidak kurang daripada jumlah seperti yang dipertuduhkan”.

Julia berhujah isu kepentingan awam perlu diambil kira sebelum menjatuhkan hukuman.

“Hukuman yang diberikan bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh, bahkan masyarakat,” katanya.

Julia turut memberi contoh mengenai hukuman yang diberikan kepada bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang dijatuhkan hukuman penjara setahun pada 2011 membabitkan seksyen sama, Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tan kemudiannya bangun dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa faktor umur dan kesihatan anak guamnya yang menjadi keutamaan.

“Alasan utama saya untuk meminta mahkamah agar tidak menjatuhkan hukuman penjara bukan kerana hilang kelayakan. Ini adalah faktor usia dan kesihatannya,” katanya.

Dalam penghakimannya Mohamed Zaini berkata mahkamah cenderung untuk mengikut kes sebelumnya dan memetik kes rasuah Dr Mohamad Khir yang dipenjara selama setahun.

“Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda sebanyak RM2 juta. Sekiranya gagal berbuat demikian, akan menjalani hukuman penjara enam bulan. Hukuman itu akan bermula dari tarikh penghakiman,” kata hakim.

Mohamed Zaini berkata Tengku Adnan bukan pegawai awam dan ahli politik pertama yang disabitkan dengan kesalahan.

“Ada yang lain. Semua orang sama di sisi undang-undang. Saya tidak menafikan beliau telah berkhidmat untuk negara ini selama bertahun-tahun tetapi hukuman itu mesti mencerminkan jenayah dan menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Tengku Adnan kelihatan tenang sepanjang prosiding itu yang turut dihadiri isterinya, Datin Seri Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini @ Anggraini Sentiyaki, dua anak lelaki mereka serta ahli keluarga yang lain.

Ketika mahkamah ditangguhkan bagi memboleh pihak-pihak menyediakan hujahan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, kedengaran isterinya berkata sesuatu selepas mahkamah mendapati Tengku Adnan bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kelihatan seorang anak lelakinya menenangkan wanita itu.

Sejurus selepas prosiding, Tan ketika ditemui pemberita berkata pihak pembelaan akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu, hari ini atau esok.

Bagaimanapun, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut dan terus berlalu menaiki kenderaannya.

– BERNAMA


Pengarang :