Pengarah Urusan Top Glove Dato’ Lee Kim Meow (tengah) memberi taklimat kepada pegawai yang menyertai operasi penutupan kilang Top Glove di Jalan Teratai, Klang pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kilang Top Glove Klang beroperasi semula dua minggu lagi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Top Glove Corporation Bhd dijangka membuka semula kesemua 28 kilang pengeluarannya di Meru, Klang dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, menurut Pengerusinya Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

Beliau berkata tujuh kilang telah dibuka semula ketika peringkat pertama pemulihan operasi yang bermula semalam, manakala peringkat kedua akan melibatkan tujuh lagi kilang untuk kembali beroperasi menjelang hujung minggu akan datang.

“Diharapkan, semua (28) kilang ini akan beroperasi dan kesemuanya akan kembali normal dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang,” katanya dalam taklimat maya mengenai keputusan syarikat untuk suku pertama berakhir 30 November 2020 di sini semalam.

Top Glove telah menutup sementara 28 kilangnya di Klang akibat peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya. Kesemua 28 kilang ini mewakili kira-kira 50 peratus daripada kapasiti pengeluaran syarikat.

Bagaimanapun, Lim berkata penutupan kilang di Klang sejak November lepas dijangkakan hanya menjejaskan empat peratus daripada perolehan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021.

Suasana di hadapan asrama pekerja wanita Top Glove Jalan Abadi 1A Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan sekitar jam 6.30 petang pada 16 November 2020. Foto BERNAMA

Untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, Pengarah Urusan Datuk Lee Kim Meow berkata Top Glove menyasarkan untuk mengambil 7,000 pekerja tempatan bagi tahun kewangan 2021 berbanding hampir 5,000 pada tahun kewangan 2020.

Ditanya mengenai penalti kerajaan berikutan kegagalan syarikat itu mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), Lee berkata setakat ini, Top Glove belum menerima sebarang maklumat daripada pihak berkaitan.

“Bagaimanapun, kami ingin merayu kepada kerajaan untuk membantu kami, dan, agar mereka tahu kami syarikat yang serius dan mahu mematuhi (peraturan ini),” katanya.

Mengenai kemungkinan vaksin Covid-19 akan menjejaskan pertumbuhan syarikat itu pada tahun depan, Lim melahirkan keyakinan bahawa permintaan terhadap sarung tangan akan terus kukuh di seluruh dunia meskipun wujudnya vaksin.

“Berdasarkan nilai perolehan kontrak kami dengan kapasiti pada tahun depan telah ditempah sepenuhnya, ini menunjukkan vaksin itu tidak akan mempengaruhi permintaan sarung tangan di seluruh dunia,” katanya.

Berdasarkan slaid pembentangan Top Glove, permintaan terhadap produk syarikat itu kekal kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2021. Ini dipacu oleh Asia tidak termasuk Jepun, yang melonjak 72.9 peratus tahun ke tahun, dan Eropah Barat yang menokok 70.2 peratus tahun ke tahun.

Bagaimanapun, permintaan daripada Amerika Utara turun dua peratus pada tahun kewangan 2021 berbanding tahun sebelumnya, terutama disebabkan isu larangan import oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat.

-BERNAMA

 


Pengarang :