Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: Empat lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

PUTRAJAYA, 9 DIS: Empat lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negara ini melibatkan beberapa kawasan di Sabah, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu kluster Kupi-Kupi melibatkan daerah Penampang di Sabah dengan kes awal dikesan positif Covid-19 pada 2 Dis hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 9 Dis, sejumlah 12 individu telah disaring, kesemua 12 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua iaitu kluster Tapak Bina Ikon Bintang melibatkan daerah Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur dengan kes dikesan bermula 9 Dis hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak pembinaan.

Beliau berkata sehingga 9 Dis, 12 kes telah dikesan positif Covid-19 daripada sejumlah 532 individu yang disaring dalam kluster tersebut.

Bagi kluster ketiga iaitu kluster Bandar Impian, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan daerah Kluang di Johor, daerah Pasir Puteh di Kelantan dan daerah Kuala Kangsar di Perak dengan kes awal dikesan adalah kes jangkitan pernafasan akut teruk (Sari) dan dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Dis.

“Sejumlah 58 individu telah disaring, dengan sembilan kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster keempat pula ialah kluster Jalan Kemang yang melibatkan daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kes awal dikesan positif Covid-19 pada 5 Dis hasil saringan individu bergejala.

Beliau berkata dalam kluster itu, sebanyak 19 kes dikesan positif daripada 257 individu telah disaring.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, 396 kluster dilaporkan termasuk empat kluster baharu hari ini.

“Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 211 kluster termasuk empat kluster yang tamat hari ini iaitu kluster Gala, kluster Harmoni, kluster Mahkota dan kluster Bah Kenangan.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 185 kluster dan daripada jumlah itu, 38 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini. Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster Jalan Genting sebanyak 119 kes, kluster Bintang (45) dan kluster Tapak Bina Muda (39),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :