Pasukan petugas kesihatan menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma kepada penduduk Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: Hulu Langat paling banyak zon merah

SHAH ALAM, 15 DIS: Hulu Langat menjadi daerah paling banyak zon merah berikutan terdapat lima mukim merekodkan kes Covid-19, setakat semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata ia membabitkan mukim Ampang, Kajang, Cheras, Semenyih dan Hulu Langat.

Menurutnya, Petaling juga merekodkan zon merah yang tinggi iaitu Bukit Raja, Damansara, Petaling dan Sungai Buloh.

“Sementara Klang, Gombak dan Kuala Langat masing-masing mencatatkan dua mukim zon merah. Bagi Kuala Selangor dan Sepang pula masing-masing hanya mempunyai satu zon merah,” katanya menerusi Twitter.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor terus menjadi penyumbang kes tertinggi Covid-19 selepas merekodkan 532 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 303 kes dikesan dari kluster sedia ada serta lapan kes dari kluster baharu, kluster Solar Ria.

Sebanyak 109 kes dicatatkan dari saringan kontak rapat manakala 111 dari lain-lain saringan.


Pengarang :