Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai yang hadir membuat ujian saringan bersasar ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan lapan kluster baharu, satu di Selangor

SHAH ALAM, 16 DIS: Satu daripada lapan kluster baharu Covid-19 yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini membabitkan Selangor.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Puncak Galaksi di Kuala Selangor dan Klang dilaporkan positif bermula kelmarin melalui saringan bersasar di sebuah gudang.

“Sehingga hari ini, sejumlah 541 individu disaring dengan 56 kes dikesan positif Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media.

Bagi kluster lain, beliau berkata kluster Bukit Punai dikesan di Kota Kinabalu, Sabah yang sudah menjangkiti tujuh individu.

Manakala kluster Tapak Bina Permai di Lembah Pantai, katanya, ia dikenal pasti hasil saringan bersasar di sebuah tapak pembinaan dan 48 individu positif wabak berkenaan.

“Kluster seterusnya dikenali sebagai kluster Tapak Bina Matahari dikesan di Titiwangsa hasil saringan di tapak pembinaan dan menjangkiti 15 individu.

“Sementara itu, kluster Tapak Bina Laut membabitkan saringan bersasar di tapak pembinaan dikesan di Lembah Pantai, Cheras serta Kepong dan sudah menjangkiti lapan individu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster keenam dikenali kluster Cahaya Mahsuri dikesan di Johor Bahru dan Kota Tinggi dengan menjangkiti 32 individu.

“Kluster seterusnya dikesan di Perak Tengah dan Kinta, Perak yang dinamakan sebagai kluster Seri Tasik, tujuh individu dijangkiti.

“Kluster terakhir dikenali sebagai kluster Inten di Kuantan, Pahang dan menjangkiti sembilan individu,” katanya.


Pengarang :