Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai yang hadir membuat ujian saringan bersasar ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Sebanyak lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini oleh Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk tiga kluster tempat kerja melibatkan Selangor, Sabah, Johor dan Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Selangor, ia melibatkan kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah yang dikesan di Petaling dengan kes-kes bagi kluster itu dilaporkan positif sejak 14 Dis lepas hasil saringan di sebuah tapak binaan.

“Sehingga hari ini, sejumlah 450 individu telah disaring dengan 49 kes dikesan positif Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di Sabah pula terdapat dua kluster baharu dikesan iaitu kluster Keris Residence melibatkan tempat kerja di Kota Kinabalu dan Tuaran dengan kes indeks telah dilaporkan positif pada 12 Dis melalui saringan individu bergejala.

Katanya sehingga 19 Dis lepas, sejumlah 65 individu telah disaring dengan 41 kes dikesan positif virus itu.

Satu lagi kluster di negeri itu ialah kluster Brumas dengan kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Dis hasil saringan kendiri dan sehingga hari ini, sejumlah 89 individu telah disaring dengan 16 kes dikesan positif.

Di Johor pula, kluster Jalan Timah yang merupakan kluster tempat kerja dikesan melibatkan Johor Bahru serta Kulai dan kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif pada 18 Dis melalui saringan individu bergejala.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, sejumlah 238 individu telah disaring dengan 26 kes dikesan positif.

Sementara itu, di Kelantan kluster baharu yang dikesan melibatkan kluster Long Panji di Kota Bharu dan Machang dengan kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif pada 15 Dis melalui saringan individu bergejala.

Beliau berkata sejumlah 202 individu telah disaring dan 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu sehingga hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat tiga kluster yang tamat tempoh pemantauan dan pengawasan hari ini iaitu kluster Softwood LD membabitkan daerah Lahad Datu di Sabah, kluster Rajawali melibatkan daerah Timur Laut serta Barat Daya di Pulau Pinang dan kluster Besi Demak di Sarawak.

– BERNAMA


Pengarang :