Keadaan simpang tiga Jalan Kuari Hulu Langat berlubang dan membahayakan pengguna. Foto ihsan Edry Faizal
AGENDA NASIONAL

KKR komited tampal jalan berlubang dalam tempoh 24 jam

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kerja-kerja penampalan jalan berlubang menerusi Kempen Aku Janji Zero Potholes yang diperkenalkan semula pada Julai lepas.

KKR dalam kenyataan memaklumkan Kempen Aku Janji Zero Potholes sebelum ini dari 2016 hingga 2018 bertujuan memperkukuhkan komitmen kementerian terhadap penyampaian perkhidmatan penyenggaraan jalan dalam negara.

“Ia adalah inisiatif kementerian bersama JKR dan enam syarikat konsesi bagi Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Di bawah kempen ini, kerja-kerja penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam daripada penemuan atau aduan kerosakan dan dalam tempoh tiga hari bagi pembaikan kekal seperti mana dalam kontrak ‘Federal Road Maintenance’,” menurut kenyataan semalam.

Kenyataan itu menyebut kerosakan ‘pothole’ merujuk kepada lubang berkelebaran 200 hingga 1,000 milimeter (mm).

“Sekiranya kelebaran lubang itu di bawah 200 mm, teknik tampalan tidak melibatkan potongan tetapi sebaliknya ditampal terus, namun apabila kelebaran lubang itu sehingga 1,000 mm, ia memerlukan kaedah pemotongan jalan sebelum menampalnya.

“Jika dimensi lubang itu melebihi 1,000 mm, maka ia perlu dilihat sebagai kegagalan pavement,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KKR memperuntukkan RM1.09 bilion bagi kerja-kerja senggara Jalan Persekutuan di seluruh negara termasuk bil elektrik, lampu isyarat dan lampu jalan pada 2021.

“Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk pelaksanaan ‘weight in motion’ di jalan-jalan persekutuan yang dikenal pasti menerusi bajet 2021.

“KKR akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan permukaan jalan tidak cepat rosak akibat daripada lebihan muatan kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, KKR sentiasa komited dalam memastikan setiap aduan yang diterima diselesaikan dengan kadar segera tanpa mengira status pengadu dan turut mengamalkan ‘No Wrong Door Policy’ demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Sebanyak 4,091 aduan kategori infrastruktur awam telah diterima KKR dan JKR sehingga 30 November. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,473 aduan merupakan aduan jalan rosak. Kesemua aduan telahpun diselaraskan dan diambil tindakan oleh JKR.

“Hampir 200,000 jalan berlubang dikesan dan dibaiki melalui pemantauan dan data rondaan JKR pada 2019 manakala 64,000 jalan berlubang telah direkodkan dan diambil tindakan sehingga Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

KKR juga menyifatkan setiap aduan dan pandangan yang diberikan bertujuan untuk pembangunan sejagat agar maklumat yang tepat dan lengkap diperolehi bagi tujuan siasatan yang jelas di lokasi.

Pada 27 Disember, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilapor terbabit kemalangan apabila basikal ditunggangnya terbalik, selepas tayar hadapan terperosok dalam lubang atas jalan dengan beliau mengalami kecederaan ringan pada muka selepas terhumban pada bahu jalan.

– BERNAMA


Pengarang :