Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Klang catat kes harian tertinggi, banyak libat kluster

SHAH ALAM, 25 DIS: Klang terus merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi sebanyak 128 kes, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Agensi itu berkata mukim Klang mencatat 74 kes manakala Kapar 54 kes, dengan lebih separuh jangkitan melibatkan 10 kluster yang dikesan di kedua-dua mukim.

“Kes di daerah ini turut dikesan melalui saringan kontrak rapat, saringan pekerja, saringan bergejala dan prapenerbangan,” maklum jabatan itu di Facebook hari ini.

JKNS berkata Hulu Langat merekodkan 95 kes iaitu 48 kes di mukim Kajang, Ampang (27), Cheras (15), Semenyih (empat) dan Hulu Langat (satu).

Sebanyak 59 kes dikesan di Gombak melibatkan mukim Batu (30), Rawang (19), masing-masing empat kes di Hulu Kelang dan Kuang serta dua di Setapak.

“Kuala Selangor pula merekod 56 kes iaitu 55 kes di mukim Ijok manakala satu di mukim Kuala Selangor,” kata agensi itu lagi.

Selain itu, mukim Damansara merekodkan 36 kes, Petaling (11), Sungai Buloh (empat) dan Bukit Raja (tiga) menjadikan jumlah keseluruhan kes di daerah Petaling adalah 54.

Pecahan kes daerah lain melibatkan Kuala Langat (40), Sepang (25) dan Sabak Bernam (empat).

Selangor merekodkan 461 kes baharu hari ini dengan 309 daripadanya melalui kluster dan saringan aktif di lapangan.


Pengarang :