Petugas kesihatan berehat seketika selepas mengambil sampel bagi saringan Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kluster Penjara Jalan Harapan punca kes Covid-19 di Gombak meningkat

SHAH ALAM, 19 DIS: Saringan orang kena tahan (OKT) kluster Penjara Jalan Harapan di mukim Batu menyumbang peningkatan kes Covid-19 di Gombak hari ini apabila merekodkan 96 daripada 145 jangkitan.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), perkembangan itu menjadikan Gombak kembali mencatat kes harian tertinggi di negeri ini selepas Klang memegang status tersebut empat hari berturut-turut.

Secara keseluruhan sebanyak 130 kes dilaporkan di mukim Batu, Hulu Kelang (lima), Kuang dan Rawang masing-masing empat dan Setapak (dua).

Hulu Langat pada kedudukan kedua merekodkan 97 kes iaitu mukim Kajang (57), Ampang (25), Semenyih (tujuh), Cheras (enam) manakala Beranang dan Hulu Langat (satu).

“Sebanyak 58 kes dicatatkan di Klang dengan 32 daripadanya di mukim Klang dan kapar (26) manakala 56 kes di Petaling iaitu mukim Damansara (48), Bukit Raja (empat), Sungai Buloh (tiga) serta Petaling (satu),” menurut JKNS menerusi perkongsian di Facebook.

Jabatan itu menambah Sepang melaporkan 16 kes, Kuala Selangor (12), Hulu Selangor (sembilan), Kuala Langat (lima) dan Sabak Bernam (tiga).

Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 289 pesakit negeri ini pulih menjadikan keseluruhan sembuh sebanyak 15,798 manakala angka kematian kekal 35 orang.


Pengarang :