EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian ketika melawat kolam ternakan ikan keli di Sungai Tinggi, Hulu Selangor yang menjadi punca pencemaran bau Sungai Selangor pada 8 Disember 2020.
AGENDANASIONAL

Kolam ikan keli punca sungai tercemar beroperasi tanpa lesen

HULU SELANGOR, 8 DIS: Kolam ternakan ikan keli di Sungai Tinggi di sini dipercayai menjadi punca empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas kira-kira empat jam.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata berdasarkan siasatan premis terbabit membuat pelepasan besar air dari satu kolam menyebabkan air mengalir ke Sungai Selangor, malah ia beroperasi tanpa lesen.

“Pemilik premis akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 79 Enakmen Lembaga Air Urus Selangor (LUAS) 1999 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM200,000 sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

“Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen LUAS 1999 dikeluarkan kepada pemilik premis untuk memberhentikan pelepasan serta-merta dan menjalankan pemulihan segera ditapak,” katanya selepas melawat kolam ternakan ikan itu hari ini.

Loy Sian bagaimanapun berkata pencemaran berjaya diatasi dengan pelepasan air dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 bagi meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor dan LRA dapat beroperasi pada jam 5 pagi.

Menurutnya, premis di tanah hak milik PT15680 dan PT523, Mukim Sungai Tinggi itu berkeluasan 45 hektar dan mempunyai 57 kolam ikan dengan jarak 8.7 kilometer dari LRA Rantau Panjang.

“Kita harap polis juga akan buat siasatan berhubung kejadian ini dengan membuat hukuman lebih berat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” katanya.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran air Sungai Selangor mulai tengah malam tadi. Namun dalam tempoh lima jam, semua loji ini berjaya beroperasi semula selewat-lewatnya jam 5 pagi tadi.

Pengguna di tujuh wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat bakal menerima air secara berperingkat mulai 3 petang ini.


Pengarang :