Atlet sukan olahraga lari jarak jauh melakukan sesi latihan di Stadium Kota Raja, Klang pada 4 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

KOM cadang anjur Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Januari 2021

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bercadang menganjurkan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada awal Januari 2021 sebagai platform kepada atlet negara membuat persiapan awal bagi menghadapi beberapa temasya sukan tahun depan.

Presiden KOM Datuk S.M. Muthu berkata badan induk itu akan terus memantau situasi semasa pandemik Covid-19 sebelum memutuskan sama ada kejohanan berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya.

“Kalau tiada masalah, kita turut akan menjemput beberapa negara Asia untuk mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan, namun kita perlu lihat keadaan semasa Covid-19.

“Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, kita mungkin akan mengadakan kejohanan dalaman sahaja melibatkan atlet negara bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan atlet dan pegawai tempatan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

KOM sebelum ini pernah menganjurkan kejohanan dalaman pada bulan lepas bagi menguji prestasi semasa skuad olahraga negara susulan ketiadaan kejohanan pada tahun ini akibat Covid-19.

Muthu sebelum ini dilaporkan berkata bahawa KOM merancang untuk mengadakan Terbuka Malaysia dari 11 hingga 13 Dis, selain ‘National Under Distance Trials’ pada 7 Nov, namun kedua-dua kejohanan berkenaan terpaksa dibatalkan susulan penularan Covid-19 di negara ini.

Skuad olahraga kebangsaan tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sejak Mac lepas susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Muthu mengesahkan KOM akan mendapatkan keputusan ujian doping pelari maraton negara, Tan Huong Leong sebelum memutuskan sama ada catatan masa 2 jam 23 minit 13 saat dilakar pelari kelahiran Johor itu pada Kejohanan Taipei City Marathon, dikira sebagai rekod baharu kebangsaan.

“Kita masih menunggu keputusan ujian doping daripada pihak penganjur yang dijangka mengambil masa selama dua minggu sebelum kita mengesahkan sama ada catatan berkenaan boleh diiktiraf sebagai rekod baharu kebangsaan atau sebaliknya,” jelas Muthu.

Tan dilaporkan mencipta rekod baharu berkenaan selepas menduduki tempat keenam keseluruhan dalam acara maraton penuh (42 km) pada kejohanan tersebut baru-baru ini, sekali gus mengatasi rekod terdahulu miliknya 2 jam 24 minit 04 saat.

-BERNAMA

 


Pengarang :