Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kontrak hadapan minyak sawit mentah dijangka tidak berubah

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak berubah minggu depan dengan aktiviti pengambilan untung walaupun asas aliran peningkatan kekal kukuh susulan bekalan dan pengeluaran yang rendah.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga komoditi itu dijangka dalam jajaran RM3,200 hingga RM3,300 satu tan.

“Kebanyakan pembeli hanya membeli minyak sawit sekiranya terdapat keperluan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pula berpendapat bahawa harga minyak sawit terus meningkat dalam separuh pertama 2021 berikutan penyusutan ketara soya di Argentina dan kenaikan harga minyak bunga matahari.

Faktor lain pula bergantung kepada corak aliran cuaca dan sejauh mana seriusnya fenomena cuaca La Nina di masa depan.

Bagi minggu baru berakhir, harga MSM kebanyakannya tinggi dipengaruhi oleh prestasi kukuh minyak kacang soya di Bursa Komoditi Dalian China dan Lembaga Perdagangan Chicago AS (CBOT).

Harga tersebut naik daripada penurunan sebelum ini apabila Indonesia berusaha mengenakan levi ke atas MSM bermula pertengahan bulan ini, sekali gus menjadikan MSM Malaysia lebih menarik.

Peningkatan itu juga seiring dengan aliran kenaikan harga fizikal yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih sembilan tahun.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi Disember 2020 meningkat RM140 kepada RM3,645 satu tan, Januari 2021 melonjak RM151 kepada RM3,552 satu tan, Februari 2021 naik RM99 kepada RM3,437 satu tan dan Mac 2021 menokok RM74 kepada RM3,337 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 282,610 lot daripada 347,718 lot pada minggu sebelum ini manakala kepentingan terbuka susut kepada 240,256 kontrak daripada 275,355 kontrak.

Di pasaran fizikal, November Selatan berada pada RM3,690 satu tan.

-BERNAMA


Pengarang :