Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kontraktor perlu patuhi SOP, elak kemalangan tempat kerja

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Insiden tiga pekerja pembersihan maut akibat terhidu gas bahaya ketika menjalankan kerja pembersihan di sebuah loji kumbahan di Jalan Pantai Permai 1, di sini petang semalam dapat dielak sekiranya semua langkah keselamatan yang ditetapkan dipatuhi.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun jumlah kes dan kematian kejadian itu tidak sebanyak kematian yang direkodkan dalam kemalangan jalan raya, sejak kebelakangan ini ada sahaja kes seperti itu dilaporkan berlaku.

“Dalam hal ini, pihak majikan atau kontraktor yang dilantik, mesti mengambil tanggungjawab memastikan pekerja yang diupah melakukan kerja di tempat tertutup seperti loji kumbahan itu mempunyai sijil kelayakan sewajarnya selain telah mengikuti Kursus Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan.

“Ini dapat meningkatkan kesedaran dan kemahiran pekerja dalam menjalankan kerja-kerja berisiko sekali gus dapat mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengancam nyawa mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, katanya pekerja yang melakukan kerja-kerja di ruang yang tertutup di bawah tanah seperti loji pembentungan perlu dibekalkan dengan alatan khas yang dapat mengesan kehadiran gas toksik.

Pada masa yang sama, Lee berharap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan dapat memainkan peranan yang proaktif dalam memantau setiap kerja yang dijalankan di tempat yang berisiko untuk memastikan ia mematuhi tatacara operasi piawai.

Beliau turut mencadangkan agar seorang penyelia ditugaskan bagi mengawasi setiap pekerjaan yang dilakukan di tempat tertutup untuk mengelakkan berlaku insiden yang tidak diingini.

“Dalam insiden yang berlaku semalam, tindakan tegas perlu diambil kepada kontraktor yang terlibat sekiranya didapati berlaku kecuaian dan pengabaian aspek keselamatan sehingga mengorbankan nyawa pekerja,” katanya.

Dalam kejadian 3.10 petang semalam, tiga pekerja iaitu lelaki warga tempatan berusia 22 dan 52 tahun dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 42 tahun maut selepas dipercayai terhidu gas berbahaya ketika melakukan kerja pembersihan pembetungan di loji kumbahan berkenaan.

Bagaimanapun, tiga lagi pekerja yang turut berada di tempat kejadian iaitu seorang lelaki warga India berusia 28 tahun dan dua lelaki warga Bangladesh, masing-masing berusia 26 dan 30 tahun terselamat.

– BERNAMA

 


Pengarang :