Selangorkini
Keadaan semasa struktur binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika tinjauan pada 21 September 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kontraktor SUKE didenda RM180,000 gagal pastikan tapak binaan selamat

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenakan denda RM180,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak binaan lebuh raya itu, persidangan Dewan Negara dimaklumkan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia susulan kejadian konkrit struktur pembinaan lebuh raya itu jatuh dan menghempap sebuah kenderaan pada 19 September lalu.

Menjawab soalan Senator Md Nasir Hashim berhubung tindakan terhadap kontraktor utama pada persidangan Dewan Negara hari ini, beliau berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan satu prosiding Tindakan Tatatertib Kontraktor pada 17 Nov lalu dan menjatuhkan hukuman penalti terhadap kontraktor utama dan subkontraktor projek SUKE Pakej CA2.

‘’Kontraktor Utama iaitu MRCB Builders Sdn Bhd dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor Makna Setia Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

Kedua-dua kontraktor itu masing-masing didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), iaitu di bawah kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan,’’ katanya.

Fadillah berkata siasatan CIDB turut mendapati, subkontrator berkenaan gagal mematuhi prosedur kerja yang betul dan diperakui oleh perunding projek, selain tidak menggajikan penyelia tapak yang diakreditasi.

Menerusi prosiding tatatertib itu, subkontraktor turut diarahkan membuat penambahbaikan dalam prosedur keselamatan supaya keselamatan orang awam, jajaran projek, amalan cara kerja dan pengendalian serta pengurusan tapak binaan adalah terjamin sepanjang tempoh projek dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh siasatan, kedua-dua syarikat telah memberikan komitmen dan kerjasama yang baik termasuk membuat aku janji untuk meningkatkan keberkesanan dan amalan prosedur perlaksanaan persekitaran kerja yang lebih selamat dan kondusif,’’ katanya.

Dalam kejadian 19 September itu, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

-BERNAMA


Pengarang :