Seorang pekerja kesihatan memakai sut pelindungan diri membawa sampel ujian calitan berjalan melalui pasar tradisional di Jakarta, Indonesia pada 25 Jun 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Korban Covid-19 di Indonesia lepasi angka 20,000

JAKARTA, 21 DIS: Jumlah kematian kumulatif akibat Covid-19 di Indonesia kini melepasi angka 20,000 manakala kes positif baharu terus melebihi angka 6,000 kes setiap hari sejak minggu lepas.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, 205 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini meningkat kepada 20,085 orang, manakala 6,848 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan melonjak kepada 671,788 kes.

Provinsi Jakarta terus mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 164,557 kes, dengan jumlah kematian keseluruhan 3,087 orang.

Bermula 18 Disember lepas, pemerintah Jakarta mewajibkan mereka yang keluar dan masuk ke provinsi berkenaan perlu menjalani ujian swab test atau ujian rapid antigen.

Sementara itu, Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati dipetik agensi berita Antara, berkata kos pembiayaan vaksin untuk rakyat Indonesia dianggarkan mencapai Rp54.44 trilion.

Pada 16 Disember lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan.

Indonesia menerusi Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM) badan di bawah Kementerian Riset dan Teknologi Indonesia telah bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal dari China, iaitu Sinovac Biotech untuk melakukan penyelidikan vaksin Covid-19.

Menerusi kerjasama itu, Indonesia juga membangunkan vaksin Merah Putih dan dijangka mampu mengeluarkan 290 juta dos vaksin menjelang pertengahan 2021.

Pada 6 Disember lepas, Indonesia turut menerima 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China, manakala 1.8 juta dos lagi vaksin itu akan diterima pada awal Januari 2021.

-BERNAMA


Pengarang :