Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang tiruan yang akan di lupuskan pada program Pelupusan Ekshibit Perdana pada 14 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDNHEP lupus barangan tiruan bernilai lebih RM36 juta

NILAI, 14 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melupuskan pelbagai jenis barangan tiruan berjumlah RM36.49 juta bagi tempoh Januari hingga November lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata jumlah itu membabitkan 2,822 kes sitaan di bawah Akta Hak Cipta 1987, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 melibatkan barangan cetak rompak, tiruan dan standard keselamatan.

Menurutnya, barangan tiruan itu merupakan hasil rampasan daripada operasi yang dijalankan di beberapa kawasan termasuklah di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Berdasarkan tindakan kes pengkompaunan dan pendakwaan barang sitaan telah dilupuskan, sebanyak RM2.23 juta hasil kutipan sementara dijadikan hasil kerajaan selain hasil jualan lelong, sebut harga, tender dan jualan terus berjumlah RM429,921.

“Selain itu, hasil kerajaan itu juga diperoleh daripada lucut hak kewangan melalui perintah Mahkamah sebanyak RM1.77 juta dan pemusnahan barangan kes bernilai RM32.06 juta,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini KPDNHEP juga melakukan 731,102 pemeriksaan premis dengan 9,448 kes rampasan atas pelbagai kesalahan berjumlah kira-kira RM74.09 juta.

Iskandar Halim berkata 6,772 kes pula dikenakan kompoun kepada peniaga termasuklah peniaga runcit, borong dan kilang yang melakukan pelbagai kesalahan membabitkan jumlah RM19.68 juta.

“Tindakan pendakwaan juga telah dikenakan ke atas peniaga yang melanggar undang-undang melibatkan 35 kes dengan denda sebanyak RM7.42 juta,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP menyasarkan untuk terus mencari dan mengenal pasti pemborong dan premis stor yang menyimpan barangan tiruan sebelum diedarkan kepada peruncit.

“Sasaran kami adalah untuk mencari pemborong dan stor, sebab kalau kami rampas barangan di peringkat pemborong, edaran kepada peruncit akan terhenti dengan cara itu kami akan mengurangkan kerja pegawai untuk cari peruncit.

“Memang barang tiruan ini datang dari sumber yang murah dan kebanyakan adalah dari China. Biasanya mereka import barang yang tiada jenama, tetapi apabila sampai di sini mereka letakkan jenama berkaitan untuk jualan, ini yang kami bimbang,” katanya

-BERNAMA


Pengarang :